Tangani segera isu kekurangan guru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan guru sekolah bagi pendidikan subjek teras mendapat perhatian Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).

Justeru, beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan perancangan bagi pengambilan guru baharu yang masih tidak mencukupi.

- Advertisement -

Menjawab persoalan ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ling berkata, KPM melaksanakan pengambilan guru secara one-off dan kluster mata pelajaran bagi menangani masalah tersebut.

“Pada 2021 hingga Januari 2023, KPM mengambil seramai 22,327 guru melalui kaedah ini.

“Sehingga 28 Februari 2023, antara opsyen mata pelajaran teras yang masih terdapat kekurangan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni/Seni Visual dan Sejarah,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Tarmizi berkata, isu yang dibangkitkannya bukan perkara baharu, malah ada sekolah kawasan pedalaman, termasuk di Parlimen Sik, mengalami kekurangan guru antara lapan hingga 10 orang.

“Pada masa sama, kita menghadapi lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Mengikut laporan pada tahun lepas, seramai 3,778 graduan belum dipanggil menghadiri temuduga untuk penempatan di sekolah,” katanya.

Katanya, perkara in berlaku kerana tiada keselarasan antara keperluan guru bagi subjek yang diperlukan dengan bidang pendidikan graduan. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -