Pendirian Malaysia berhubung AUKUS konsisten

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendirian dan prinsip Malaysia berhubung AUKUS (pakatan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) adalah tetap dan tidak berubah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penegasan negara terhadap perkara itu turut dinyatakan kepada Duta Khas Perdana Menteri dan Panglima Angkatan Tentera Australia, Jeneral Angus J Campbell di pejabatnya pada 9 Mac lalu.

- Advertisement -

“Pendirian Malaysia, menggesa agar semua pihak berkaitan, sama ada di dalam mahu pun di luar pakatan AUKUS, untuk saling menghormati dan mematuhi sepenuhnya instrumen perundangan negara dan antarabangsa yang sedia ada.

“Ia terutamanya berhubung dengan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear di dalam perairan negara,” katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad menegaskan bahawa sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Sementara itu, katanya pembangunan lapan buah kapal selam berkuasa nuklear oleh Australia hanya menggunakan enjin berkuasa nuklear dan tidak akan dilengkapkan dengan senjata nuklear.

Menurutnya, ini selaras dengan komitmen Australia di bawah perjanjian berkaitan senjata nuklear dan juga hasil maklumat menerusi penerangan Jeneral Angus J Campbell.

Selain itu, katanya Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat memberi penerangan sama melalui panggilan telefon pada 10 Mac 2023 dan terkini semasa sesi pertemuan Menteri Pertahanan United Kingdom pada 28 Mac 2023. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -