PAS prihatin kos haji melonjak naik

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyedari akan faktor-faktor luar kawal dan luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (LTH) yang menyebabkan kenaikan kos mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini yang dijangka lebih daripada RM31,000 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM28,632.

- Advertisement -

PAS juga menyedari bahawa kerajaan akan menanggung penuh kenaikan kos haji bagi golongan B40, manakala golongan M40 perlu membayar tambahan RM3,000 dan sementara golongan T20 pula perlu melunaskan sendiri bayaran penuh kenaikan kos haji ini.

Oleh yang demikian, melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin, PAS telah mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Agama untuk mengurangkan bebanan kenaikan ini kepada bakal Dhuyufurrahman. Cadangan-cadangan tersebut adalah:

i. Kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP Akaun 2 lebih daripada RM3,000 kepada pencarum/ Dhuyufurrahman yang layak.

ii. Kerajaan tidak menggunakan kaedah pukul rata kepada golongan T20. Kerajaan dicadangkan untuk mempertimbangkan bantuan kepada golongan ini juga berdasarkan kepada faktor-faktor berkait seperti bebanan kewangan, lokaliti dan kos sara hidup.

PAS berharap YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Nai’im Mokhtar selaku Menteri Agama Kerajaan Madani mengambil maklum cadangan yang diberikan dan dibincangkan di peringkat kementerian bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang terbabit.

“Malaysia Sejahtera”

YB Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
Bertarikh: 8 Ramadhan 1444 | 30 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -