MyBrain 15 mahu dilaksanakan semula

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha untuk melaksanakan semula MyBrain 15 dengan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal berkata, permohonan di bawah Rolling Plan (RP) 1, 2 dan 3 dalam RMK-12 itu tidak diluluskan.

Advertisement

“Program ini masih dilaksanakan sehingga kini, berdasarkan pencapaian dan impak positif MyBrain 15, kita telah mengemukakan permohonan peruntukan untuk melaksanakannya.

“Kita sekali lagi kemukakan permohonan di bawah RP 4 untuk pelaksanaan MyBrain 15,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai hasrat kerajaan untuk membuka permohonan program itu kepada semua bidang.

Mohammad Yusof menjelaskan, di bawah inisiatif itu, kementerian telah melaksanakan dua program MyBrain, iaitu MyBrain 15 dan MyBrain Sains Tulen yang diteruskan sehingga kini.

“MyBrain 15 yang terbuka kepada pelbagai bidang pengajian di peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2010 di bawah RMK-10 seterusnya RMK-11.

“Penawaran terakhir program MyBrain 15 adalah pada 2016, program MyBrain Sains pula dilaksanakan 2012 dengan penajaan di peringkat ijazah pertama sehingga pasca siswazah,” katanya.

Program MyBrain 15 merupakan inisiatif kerajaan pada 2010 bertujuan membiayai pelajar yang layak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD).

Lapan tahun kemudian ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara menangguhkan pelaksanaannya kerana dikatakan hutang yang terlalu banyak membebankan negara. – HARAKAHDAILY 30/3/2023