MAIWP salur RM1.7 juta bantu mualaf

Mohd Na'im (empat dari kiri), Mohd Ajib (tiga dari kanan) dan Mohd Nizam (dua dari kiri) pada acara penyerahan cek kepada badan-badan NGO Islam sempena majlis Rahmah Ramadan: ‘MAIWP Iftar bersama Saudara Kita’ di Kuala Lumpur pada 29 Mac 2023. (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan dana bantuan yang secara keseluruhannya berjumlah RM1.7 juta untuk membantu golongan mualaf di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan tersebut membuktikan keprihatinan MAIWP terhadap komuniti mualaf di negara ini.

- Advertisement -

“Adalah menjadi usaha kolektif semua agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk MAIWP yang komited dalam membantu komuniti mualaf secara menyeluruh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis Rahmah Ramadan:‘MAIWP Iftar bersama Saudara Kita’ di Balai Felda, Kampung Datuk Keramat, di sini, pada Rabu.

“Alhamdulillah, pada hari ini, tahun yang istimewa kerana MAIWP meraikan saudara kita melalui iftar khas ini,” katanya.

Turut hadir Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan  Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Dalam majlis tersebut , Mohd Naim telah menyampaikan cek cura sebanyak RM800,000 kepada  Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan (PERKIM), RM200,000 untuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), RM200,000 buat Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (GEPIMA), dan  RM350,000 kepada Hidayah Centre Foundation. 

Sebahagian daripada muslimin mualaf yang hadir pada majlis Rahmah Ramadan:‘MAIWP Iftar bersama Saudara Kita’ .

“Semoga langkah proaktif yang dilakukan oleh badan-badan NGO ini sedikit sebanyak dapat membantu MAIWP dan kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kefahaman dan keindahan Islam kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan mereka yang baru mengucap dua kalimah syahadah dan kepada mereka yang baru menjinakkan diri untuk kembali kepada fitrah,” ujarnya.

Dalam majlis itu juga, beliau turut menyampaikan tiga kategori anugerah bagi menghargai pencapaian-pencapaian golongan mualaf di Malaysia. 

Penerima Anugerah Kategori Dakwah pada tahun ini jatuh kepada Ahmad Daniel AlHafiz  Aduka, sementara Sumayyah Teng Yoke Chin menerima Anugerah Kategori Keusahawan; dan Anugerah Kategori Pendidikan diraih oleh Afrina Catherine Edwin Chan. 

Kesemua penerima anugerah menerima wang tunai berjumlah RM2,000 setiap seorang berserta sijil penghargaan.

Mohd Na’im (tengah) bersama-sama tiga penerima anugerah MAIWP bagi pencapaian mualaf, Ahmad Daniel (kanan), Sumayyah kiri) dan Afrina (tiga dari kanan). 

MAIWP turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM300 kepada 500 saudara baharu yang hadir pada majlis tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM150,000, menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan dalam acara itu berjumlah RM1.7 juta.

Sehubungan itu, Mohd Na’im mengucapkan tahniah kepada MAIWP susulan  majlis yang yang diadakan tersebut dilihat berjaya memasyarakatkan fungsi dan peranan MAIWP; khususnya menjadikan MAIWP dilihat dengan lebih dekat dan mesra dengan asnaf di Wilayah Persekutuan.  

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada MAIWP. Kesungguhan dan ketekunan menguruskan amanah zakat kepada golongan asnaf harus diteladani sejajar dengan transformasi Al-Falah ‘Bersama Mencapai Kejayaan’.

“Saya percaya usaha tanpa mengerti penat lelah demi menyantuni asnaf ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT,” ucap beliau.

Mohd Naim juga berkata, sempena Ramadan kali ini beliau turut menyampaikan pesanan khusus buat golongan mualaf di negara ini. 

“Ramadan adalah bulan yang mendidik dan melatih diri menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Ingatlah semua, satu masa nanti kita akan mati dan kita akan kembali untuk bertemu dengan Allah SWT

Ketika itu, ujarnya lagi, pastinya hanya ada satu bekal, hanya satu mata wang yang diterima oleh Allah SWT iaitu bekal taqwa. 

Muslimat mualaf yang hadir dalam majlis Rahmah Ramadan:‘MAIWP Iftar bersama Saudara Kita’ di Balai Felda, di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2023.

“Tidak kira siapa kita di dunia ini, semua harta, pangkat, kedudukan dan keadaan kita di dunia tidak akan dipandang olehNya kecuali amal ibadah yang kita tunaikan demi untuk mendapat rahmat Allah SWT

“Oleh itu, pesanan saya kepada saudara baharu kita yang mungkin sedang diuji dengan kesusahan dan kesukaran, jangan mudah patah semangat dan putus asa. 

“Ingatlah ini semua ujian Allah yang mana Dia menguji kita kerana sayang akan kita. Dia menguji kita agar kita kembali semula kepadaNya merintih dan meminta pertolongan dari-Nya,” jelas Mohd Na’im.

Beliau menyarankan agar perbanyakkan berdoa dan beribadah pada bulan yang mulia ini dan berusaha sekuat mungkin untuk mengubah diri. 

“Moga-moga Allah SWT melihat keikhlasan itu dan mengabulkan doa kita semua, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -