Tukar KM: PN Melaka tidak campur urusan dalaman BN

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

AYER KEROH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan bahawa pihaknya tidak mencampuri urusan kemelut politik yang berlaku di dalam Barisan Nasional negeri.

- Advertisement -

Menurut beliau, PN dengan prinsip ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ akan terus membantu rakyat biar siapa pun yang dilantik Ketua Menteri Melaka atau kerajaan yang memerintah negeri.

“Kami menghormati keputusan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas jasa yang telah dicurahkan sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Bemban berkata bahawa beliau bersama ADUN PN yang lain akan kekal komited sebagai pembangkang yang berwibawa.

Tambahnya, semua ADUN PN akan terus memperjuangkan suara rakyat dan menjadi ‘check and balance’ yang baik kepada kerajaan negeri.

“Semoga Ketua Menteri yang baharu akan terus membawa agenda rakyat yang sekarang sedang tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi serta mampu menyelesaikan segala permasalahan rakyat di samping membawa kemajuan kepada Negeri Melaka,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya hari ini. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -