Kelantan, Terengganu pengeluar utama lembu sado

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembu sado yang begitu sinonim dengan negeri Pantai Timur, terutama Kelantan dan Terengganu menyebabkan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha untuk mengembangkan aktiviti penternakan lembu sado dalam kalangan usahawan muda dan usahawan desa yang sangat berpotensi untuk dimajukan khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu.

- Advertisement -

Menjawab perkara ini, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melaksanakan beberapa langkah seperti membekalkan sebanyak 2,489 dos semen beku pelbagai baka seperti Charolais, Limousine, Belgium Blue dan Blonde pada tahun 2020.

Katanya, ini memanfaatkan penternak lembu sado yang sebahagian besar terdiri daripada golongan belia di Terengganu.

“Kementerian juga merangka pembangunan lembu sado di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 oleh JPV Terengganu.

“Sebanyak RM1.35 juta diperuntukkan pada tahun 2020 dan 2021 bagi perolehan induk, pembinaan infrastruktur kandang, perolehan semen beku dan pembangunan jurusuntik permanian beradas. Sebanyak lapan projek lembu sado berkelompok dilaksanakan di Terengganu,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan, hari ini.

Foong Hin berkata, kementerian juga memperkenalkan sistem pengeluaran lembu sado yang dinamakan NAIMbif di bawah JPV Kelantan.

Menurutnya, matlamat utama sistem pengeluaran NAIMbif ialah untuk menjadikan Kelantan sebagai pengeluar utama baka lembu kacukan berkualiti dan produk pedaging halal yang utama di Malaysia.

Katanya, ini dilakukan dengan melaksanakan agihan lembu induk kepada penternak yang layak melalui Program Pawah Ternakan dan memberi khidmat nasihat berkaitan pembiakan ternakan lembu dan melakukan bermanian beradas untuk meningkatkan kualiti genetik lembu. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -