Elakkan pengundian PRN 6 negeri pada hari kerja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan hari pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri akan datang diadakan pada hari cuti atau hujung minggu.

Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, perkara itu penting berdasarkan peratusan keluar mengundi yang rendah apabila pengundian dilakukan pada hari kerja seperti yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman dan Parlimen Padang Serai.

- Advertisement -

“Kita mahu meningkatkan penyertaan rakyat, terutama anak muda dalam proses pilihan raya dan memastikan peratusan keluar mengundi pada paras memunasabah yang mewakili segmen majoriti pengundi di sesebuah kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Syahir berkata difahamkan bahawa peruntukan tambahan sejumlah RM84.8 juta disediakan bagi melaksanakan PRN Sarawak dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Urusan SPR ini, pastinya kos sangat tinggi. Oleh itu, adakah akan ada peruntukan tambahan untuk kos sebenar perjalanan keseluruhan PRU15 pada November lalu,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada SPR yang mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN dan PRU15 secara profesional dan teratur. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -