Dasar Pendidikan Tahfiz Negara perlu jelas

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang baru dilancarkan awal bulan ini yang merupakan kesinambungan DPTN 1.0.

Senator Musoddak Ahmad berkata, DPTN 1.0 yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, sepatutnya sudah membuah hasil dan melahirkan ramai huffaz.

Advertisement

Menurutnya, kerajaan juga sepatutnya sudah lama menjayakan dasar itu kerana institusi berkenaan mempunyai kekuatan atau tunjang untuk melahirkan modal insan berkualiti.

“Sejauh mana penyediaan pelan DPTN 2.0 ini dirangka dengan kerjasama pihak berkuasa negeri dan persatuan tahfiz khususnya di peringkat negeri.

“Selain wujudkan bantuan one-off kepada Sekolah Agama Rakyat dan berapa orang huffaz profesional yang dikeluarkan serta cita-cita 250,000 dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Sebelum ini, Sebanyak RM2 juta disalurkan kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) untuk memperkasa institusi maahad tahfiz di negara ini.

Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju supaya Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz dilancarkan. – HARAKAHDAILY 30/3/2023