Cabaran tukar getah sekerap kepada lateks pekat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta Kementerian Perladangan dan Komuditi, menyatakan kemajuan projek menukar proses pengeluaran getah daripada gred ‘cuplump’ (SMR 20) kepada lateks pekat.

Menurutnya, projek yang dipelopori oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil atau penoreh getah serta mengurangkan pengimportan lateks dari negara lain.

- Advertisement -

Katanya, usaha tersebut agak mencabar dan menzahirkan ucapan tahniah kepada kementerian kerana berupaya melaksanakan projek itu.

“Bukan mudah untuk menukarkan amalan biasa pekebun kecil atau penoreh, iaitu mengeluarkan getah sekerap kepada susu getah.

“Proses mengeluarkan susu getah lebih rumit, berbanding getah sekerap, namun memberikan pendapatan lebih lumayan. Mereka perlu masukkan pelbagai jenis bahan kimia supaya susu getah pekat,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau ketika mengemukakan soalan tambahan meminta kementerian menyatakan langkah bagi menarik minat pekebun kecil untuk menukar kepada memproses susu getah pekat.

“Persoalannya apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan melalui LGM bagi menarik minat pekebun kecil untuk menukar kepada pengeluaran lateks pekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023.

- Advertisement -