PERJUANGAN yang dibawa oleh PAS dalam gabungan bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) sememangnya sentiasa bertentangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
PH-BN disokong oleh majoriti bukan Melayu dengan DAP sebagai parti dominan. Majoriti besar bukan Melayu tidak memberi undi kepada PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, selepas PH-BN berkuasa semakin banyak perkara-perkara yang tidak diingini yang melukakan hati orang Islam berlaku.
Antaranya kenyataan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berkaitan penjawat awam; program Jom Ziarah Gereja; isu komunis dan banyak lagi.
PH-BN tahu kebimbangan orang Melayu terhadap ancaman yang berlaku akan menjauhkan lagi mereka daripada parti itu terhadap PH-BN. Ironinya, Pilihan Raya Negeri (PRN) pula hampir menjelma.
Baru-baru penulis terbaca satu hantaran Facebook seorang pempengaruh politik. Beliau adalah seorang peguam Melayu yang sebelum ini agak seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Namun akhir-akhir ini, beliau nampak cenderung kepada PH-BN.
Beliau dalam hantaran itu menyindir pihak yang menggunakan isu ancaman pengaruh komunis sebagai isu politik.
Penulis percaya beliau tujukan perkara ini kepada PN yang selalu menyerang PH terutamanya DAP yang dilihat lunak dengan komunis.
Ia bukan dongengan. Pemimpin-pemimpin mereka pernah memperjuangkan agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia dahulu. Kemudian selepas kematian Chin Peng pemimpin-pemimpin mereka juga yang mendesak agar abunya dibenarkan untuk disemadikan di Malaysia.
Mereka mendesak agar komunis diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan sehingga bekas-bekas komunis ini telah berjaya mengadakan perhimpunan di Kajang semasa PH berkuasa pada tahun 2019.
Apa yang berlaku sebenarnya ialah pemimpin-pemimpin PH-BN cuba untuk ‘brain-wash’ pemikiran orang-orang Melayu-Islam supaya mereka berasa bahawa bercakap soal perjuangan hak Melayu-Islam; tentang batas-batas hubungan Islam dan bukan Islam; tentang ketinggian dan hak agama Islam ini sebagai sesuatu yang kolot dan tidak wajar selain tidak intelektual.
Mereka cuba menimbulkan rasa malu kepada orang Melayu untuk mempertahankan perkara ini, sebaliknya mereka mewujudkan pula rasa bangga apabila seseorang Melayu-Islam itu boleh bercakap sesuatu yang menentang hak dan batas agama mereka sendiri sebagai wira, intelek, moden dan progresif.
Sebab itu, kita lihat baru-baru ini apabila timbul isu program Jom Ziarah Gereja yang menimbulkan kemarahan umat Islam.
Ironinya, Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus mengarahkan 100,000 ahli partinya agar melawat rumah ibadat agama lain.
Ini strategi mereka. Mereka mahu orang Melayu-Islam bertindak berlawanan dengan kehendak agama dan bangsanya sendiri. Kemudian golongan-golongan yang berani seperti ini akan dianggap sebagai wira oleh mereka.
Maka ramailah nanti pemimpin-pemimpin Melayu dalam kalangan PH-BN nanti yang akan bercakap sesuatu yang menentang dan menafikan hak bangsa dan agama sendiri demi untuk dilihat wira oleh orang-orang bukan Melayu-Islam.
Berlumba-lumbalah selepas ini pemimpin mereka dari kalangan Melayu sendiri yang memperjuangkan hak sama rata dengan bukan Melayu kerana mahu dilihat progresif, moden dan terbuka dengan bersikap demikian. Tanpa mereka sedar mereka sedang diperbodoh-bodohkan.
Mutakhir ini, kerajaan PH-BN memberi amaran kepada mereka yang dilabel sebagai membangkitkan isu perkauman bahawa pasukan keselamatan akan bertindak tegas terhadap mereka kerana meniupkan sentimen kaum dan agama.
Hakikatnya perkara-perkara seperti ini tidak akan dibangkitkan oleh orang Melayu-Islam sekiranya tidak dimulakan oleh mereka. Sekarang ini, mereka cuba untuk membuat peraturan supaya orang Islam tidak boleh lagi bising jika hak mereka diusik dan dipertikai.
Selepas mereka ‘brain-wash’ orang Melayu agar menganggap perjuangan mempertahankan hak agama dan bangsa mereka sebagai sesuatu yang menjijikkan, sekarang dibuat pula undang-undang agar perkara ini menjadi satu kesalahan.
Maka, selepas ini mudahlah mereka mahu mengadakan program ziarah gereja; merombak hak Bumiputera dalam jawatan sektor awam; mengiktiraf LGBT dan sebagainya. Ini bahaya!
Ini adalah kerana sesiapa orang Melayu-Islam yang menentangnya akan pasti tersentuh isu kaum. Maka mudahlah mereka mengambil tindakan undang-undang.
Justeru, kesalahan biasanya akan diletakkan di bahu orang Melayu. Ini kerana PH-BN pasti perlu menjaga pengundi tegar mereka yang merupakan majoriti bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 30/3/2023