Wan Ahmad Fayhsal dan Rayer `bertarung’ isu PM

Ahli Parlimen Machang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu berhubung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) `bertarung’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini berikutan dakwaan Perdana Menteri dikatakan telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kuasa pengecualian cukai yang kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah LHDN sahaja.

- Advertisement -

Rayer meminta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, supaya mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal yang didakwanya bersikap keterlaluan terhadap Perdana Menteri.

Katanya, perkara ini dibangkitkan mengikut Peraturan 31 (6) mengenai tuduhan dan sangkaan jahat Ahli Parlimen Machang terhadap Perdana Menteri.

“Saya telah membuat satu usul secara bertulis yang dihantar ke Pejabat Speaker dan turut menerima satu surat bertarikh 27 Mac lalu berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Machang menuduh Anwar menipu dan berbohong semasa memberi penjelasan jawapan di Parlimen.

“Ini satu perlakuan yang boleh saya sifatkan sebagai keterlaluan dan tidak patut dilakukan oleh Ahli Parlimen. Saya telah dimaklumkan bahawa Speaker telah menghantar surat secara rasmi kepada Machang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer berkata sebagai penyokong kerajaan, tersinggung dengan tindakan Ahli Parlimen Machang menuduh Awar berbohong dan surat telah dihantar kepadanya menuntut penjelasan.

Wan Ahmad Fayhsal yang kemudian bingkas bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (6), iaitu seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas sesiapa ahli lain dan menyatakan telah membuat draf jawapannya kepada Pejabat Speaker.

Namun, katanya surat yang Rayer hantar tidak mematuhi Aturan 27(1) Peraturan Majlis Mesyuarat, yang sepatutnya ditulis kepada Setiausaha Dewan dan bukan kepada Speaker.

“Surat Jelutong pun sudah salah dari segi peraturan. Keduanya, fakta yang saya nak jelaskan kepada Jelutong, saya tidak pernah buat laporan polis terhadap Anwar. Yang buat laporan polis adalah ahli Armada saya. Jadi, di mana saya menyalahi dewan?” katanya.

Selain itu, katanya satu usul telah dibuat untuk membawa Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan berkaitan kuasa pengecualian cukai kononnya mutlak di bawah Ketua Pengarah LHDN sahaja.

“Kenyataan Perdana Menteri dalam satu jawapan di Parlimen baru-baru ini berkaitan perkara Ini tidak betul dan ini yang saya akan rujuk kepada Speaker,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -