Sistem dalam talian batal pendaftaran kenderaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan sistem secara dalam talian menerusi aplikasi atau kaedah digital lain bagi membatalkan pendaftaran kenderaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata sistem itu bertujuan untuk memudahkan individu yang berhasrat melupuskan kenderaan buruk atau rosak dengan membuat pembatalan pendaftaran tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

- Advertisement -

Katanya, kenderaan buruk seterusnya dilupus oleh syarikat pelupusan sisa pepejal yang diiktiraf mengikut peraturan ditetapkan agensi berkaitan.

“Melalui inisiatif ini, diharap dapat menyelesaikan isu lambakan kenderaan buruk dan usang di negara ini,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi menguruskan pelupusan kenderaan buruk dan Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

Hasbi berkata, kementerian melalui JPJ sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mengkaji hala tuju jangka panjang bagi menangani pencemaran alam sekitar akibat kenderaan usang.

Menurutnya, ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang dengan pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan pencemaran daripada kenderaan lama.

Katanya, ini juga akan merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -