Selar amalan federalisme tempang Kerajaan Madani

- Advertisement -

PAS Kedah menyelar sepenuhnya amalan federalisme tempang Kerajaan Madani pada hari ini. Langkah mengenepikan penglibatan Kerajaan Negeri disebabkan perbezaan warna politik adalah tindakan yang jelas mengundurkan wacana politik negara ke belakang serta bertentangan dengan prinsip dan amalan federalisme.

Satu demi satu tindakan Kerajaan Persekutuan dilihat membelakangi Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh parti yang berbeza. Selepas polemik yang sengaja dicetuskan dalam projek mega Kedah Aerotropolis, rancangan untuk mengehadkan penglibatan YAB Menteri Besar Kedah dalam acara utama LIMA 2023 di Langkawi menjelaskan ketempangan amalan federalisme tersebut.

PAS Kedah telah menegaskan bahawa kesemua pihak harus bersikap profesional dalam konteks pelaksanaan dasar mahupun program yang melibatkan hubungan dua hala Persekutuan dan Negeri. Sewajarnya ada garis pemisah terhadap kepentingan politik dan hubungan Kerajaan kepada Kerajaan. Malangnya, ia tidak ditegakkan dalam amalan madani Kerajaan Persekutuan.

PAS Kedah menyeru Kerajaan Persekutuan supaya tidak meneruskan amalan yang boleh merosakkan hubungan federalisme sedemikian. Permusuhan dan perbezaan dalam garis politik harus diketepikan dalam urus tadbir berkerajaan. Jangan mengundurkan negara ke landskap politik lapuk yang berlawanan dengan prinsip Madani Kerajaan Persekutuan sendiri.

Sekian, terima kasih.

YB DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA. DSDK
Pesuruhjaya PAS Kedah
7 Ramadan 1444
29 Mac 2023 – HARAKAHADAILY 29/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -