Osman RA mahu qisas di dunia, tidak dibawa ke akhirat

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 71)

- Advertisement -

AsSamman mengeluarkan dalam kitab Al-Muwafaqah daripada Abi al-Furat, katanya: Saidina Osman mempunyai seorang hamba. Dia berkata kepada hambanya: Aku pernah pulas telingamu. Balaslah aku.

Osman memegang telinganya, dan berkata: Pegang betul-betul! Alangkah eloknya dibalas di dunia, tidak dibalas di akhirat. (Ar-Riadh an-Nadrah fi Manaqib al-Asyarah, At-Tabari)

DariPADA kisah yang ringkas dan pendek mengenai Saidina Osman bin Affan RA di atas, kita boleh mengambil pelajaran yang banyak:

1) -Saidina Osman mempunyai banyak kelebihan, dari sudut duniawi dan ukhrawi. Beliau seorang yang kaya harta, juga kaya budi. 2 anak Nabi SAW menjadi isterinya, kelebihan yang tidak mudah didapati oleh orang lain.

2) Islam membenarkan penggunaan hamba. Dalam masa yang sama, Islam juga menggalakkan supaya dimerdekakan hamba melalui kaffarah ibadat tertentu dan lain-lain.

3) Qisas adalah balasan setimpal ke atas orang yang melakukan jenayah kepada orang lain. Islam menjadikannya sebagai salah satu hukuman untuk menegakkan keadilan.

4) Kata-kata Saidina Osman meminta supaya dibalas di dunia, tidak di akhirat, sekalipun kesalahan yang dibuat sangat kecil, menggambarkan keimanannya mengenai akhirat yang digeruninya. Keimanan terhadap akhirat inilah yang wajib ada kepada setiap orang sehingga terasa bimbang untuk membuat dosa, sama ada terhadap Allah atau makhluk.

5) Kesalahan yang dibalas dan diselesaikan di dunia, tidak berbangkit lagi di akhirat. Suasana akhirat sangat dahsyat. Tiada yang dapat menanggung bebanan, huru-hara dan kesusahannya. Sebab itu, Saidina Osman mahu jika ada apa-apa kesalahan melibatkan orang lain dapat diselesaikan di dunia sahaja agar di akhirat nanti, semuanya ‘smooth’ belaka.

6) Demikian juga kita. Dosa kita dengan orang lain biarlah diselesaikan di dunia. Kita tidak mahu memikul apa-apa bebanan dan liabiliti lagi di akhirat, dalam keadaan amal soleh yang kita buat pun sangat sedikit, melainkan mengharapkan pengampunan dan rahmat Allah sahaja nanti. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu

- Advertisement -