RUU Antilompat Parti Negeri Pahang

- Advertisement -

PN meneliti kenyataan YAB Menteri Besar Pahang dalam isu pindaan RUU Lompat Parti. terdapat kebimbangan beliau terhadap sokongan dari pembangkang dalam isu ini, kerana tanpa sokongan pembangkang kerajaan tidak akan memperolehi dua pertiga majoriti. 

Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam sidang akan datang walaupun setakat ini masih ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya. 

Kebimbangan YAB Menteri Besar mungkin kerana tindakan beliau tidak berlaku adil kepada pembangkang. Tindakan kerajaan tidak menyalurkan peruntukan kepada wakil pembangkang yang dipilih oleh rakyat adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. 

Tindakan menyekat kemudahan awam oleh Ahli Dewan Negeri pembangkang, dan tindakan menyekat pembangkang bertemu dengan pegawai kerajaan negeri adalah antara beberapa isu ketidakadilan kepada pembangkang. 

Saya bersetuju bahawa isu RUU Lompat Parti ini memerlukan rundingan antara YAB Menteri Besar dengan pihak pembangkang untuk kami meneliti Rang Undang-undang ini. Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya. 

Namun kami memohon kerajaan menghormati keputusan rakyat dan berlaku adil kepada semua wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Sehubungan itu saya mencadangkan satu sesi taklimat dan perbincangan bersama pembangkang dapat diadakan sebelum RUU Lompat Parti dibentang dalam persidangan akan datang.

Saya bersetuju dengan pandangan beberapa pihak bahawa Kerajaan Negeri perlu selaras dengan keputusan di peringkat Persekutuan. Sehingga kini pihak kami belum menerima notis persidangan dan berharap RUU ini akan menjadi sebahagian dari aturan yang akan dibentang dalam persidangan akan datang. 

DATO SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ketua Pembangkang ADUN Pahang
ADUN Cheka.
29 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -