PH-BN tidak perlu panik pembangkang mahu jatuh kerajaan

Abdul Basith Abdul Halim
- Advertisement -

SHAH ALAM: Penyokong PH-BN tidak perlu terkejut kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan usaha pembangkang menjatuhkan kerajaan kerana ia berlaku sejak zaman lampau.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor Abdul Basith Abdul Halim berkata, situasi seperti itu berlaku sejak era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat.

Kemudian diikuti dengan era zaman Perdana Menteri kelima, keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan.

“Lupakah penyokong PH dengan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjatuhkan kerajaan selama berpuluh tahun sebelum ini.

“Tidak perlu melenting ibarat cacing kepanasan apabila ada pihak ingin menjatuhkan kerajaan Madani terutama apabila kerajaan gagal berfungsi dengan baik,” katanya pada kenyataan di sini.

Semalam pada sidang media Dr Mahathir dilapor berkata, sekiranya kerajaan sedia ada tidak mampu mentadbir dengan baik, maka ahli Parlimen boleh menjatuhkan kerajaan itu dan memilih kerajaan lain.

Menurutnya, situasi itu pernah berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan tindakan terbabit tidak melanggar undang-undang.

Abdul Basith berkata, peranan menjatuhkan kerajaan sebahagian tugas pembangkang selagi ia tidak melanggar undang-undang kerana dilakukan mengikut lunas-lunas peraturan sistem demokrasi berparlimen.

Katanya situasi serupa dilakukan Anwar sejak berpuluh tahun mahu menjatuhkan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri ketika memimpin pembangkang.

“Tak kan setelah beliau menjadi Perdana Menteri, pembangkang hanya perlu duduk diam melihat kerosakan yang dilakukan kerajaan Madani,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa makna di sebalik laporan polis pemuda PH sehingga Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman perlu melakukan siasatan ke atas Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya menjatuhkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -