Persidangan Dewan Negara ditambah dua hari lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, mengumumkan bahawa persidangan Dewan Negara bagi Penggal Kedua Mesyuarat Pertama Parlimen ke-15 ditambah dua hari lagi.

Ini menjadikan tempoh keseluruhan persidangan selama 14 hari dan tamat pada 11 April ini.

- Advertisement -

Dr Rais berkata, beliau telah menerima satu perutusan berhubung perkara itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua majlis.

“Selaras dengan Peruntukan Mesyuarat 10 (2), peraturan-peraturan mesyuarat supaya Takwim Mesyuarat Dewan Negara yang sedang berjalan sekarang dipinda dengan menambah sebanyak dua hari lagi pada 10 dan 11 April, iaitu Isnin dan Selasa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Dr Rais, berdasarkan peraturan berkenaan, ketua atau timbalan ketua majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, persidangan Dewan Negara dijadual berlangsung selama 12 hari bermula 21 Mac lalu dan sepatutnya tamat pada 6 April.

Mengikut Takwim Dewan Negara, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang bermula hari ini, dijadual berlangsung sehingga Isnin depan. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -