Perbaiki akses kesihatan Sabah, Sarawak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ali Anak Biju (PN-Saratok) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan usaha kerajaan bagi mengatasi kekurangan klinik kesihatan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, isu ini penting supaya rakyat di kedua-dua negeri mendapat akses rawatan kesihatan yang sewajarnya.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM komited untuk memastikan penyediaan fasiliti kesihatan yang optimum kepada rakyat, termasuk kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Katanya, setakat ini KKM menyediakan 24 hospital di Sabah dengan kapasiti sebanyak 5,003 buah katil, manakala sebanyak di Sarawak sebanyak 23 hospital dengan kapasiti 4,099 buah katil.

“Semua 47 hospital di Sabah dan Sarawak yang saya nyatakan ini adalah terdiri daripada hospital berpakar major, minor dan hospital tanpa pakar yang menyediakan jalinan perkhidmatan kepakaran melalui enam buah kluster hospital di Sabah dan Sarawak.

“Perkhidmatan secara kluster ini bertujuan untuk membolehkan penyampaian perkhidmatan kepakaran dapat diberikan dengan lebih meluas, termasuk ke hospital daerah tanpa pakar di kawasan luar bandar,” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, katanya bagi perkhidmatan kesihatan primer, KKM menyediakan 300 klinik di Sabah dan 244 klinik di Sarawak yang terdiri daripada klinik kesihatan, klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA) dan klinik desa.

Malah, pasukan kesihatan bergerak disediakan bagi memberikan capaian kepada perkhidmatan kesihatan ke kawasan yang lebih terpencil.

Namun, katanya tidak dapat disangkal masih terdapat jurang dalam penyediaan fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak, terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, antara pendekatan KKM untuk menangani isu ini adalah dengan menaik taraf hospital sedia ada bagi menyokong dan memperkasakan peluasan program kluster kepada lebih banyak hospital. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -