Pelepasan cukai SSPN kekal: Anwar mengaku kalah

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengaku kalah dan akur dengan desakan rakyat melalui Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dalam mengekalkan pelepasan cukai bagi golongan penabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Demikian hujah Ahli Pimpinan Tertinggi parti Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata, ia  jelas membuktikan bahawa jika PN boleh menang dalam isu SSPN tersebut, PN juga boleh menang besar dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

- Advertisement -

Dalam kenyataan melalui Facebook beliau, Wan Saiful berkata: “Semasa saya berusaha menaikkan kadar pelepasan (SSPN) ini ke RM8,000, matlamat saya adalah bagi memastikan kita dapat mengubah budaya rakyat daripada berhutang kepada menabung. 

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Umno seharusnya menyokong matlamat ini agar golongan anak muda tidak terus terbeban dengan hutang.”

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan PH-Umno yang mempunyai niat menghapuskan insentif kepada rakyat. 

“Rakyat mula untuk bersifat anti PH-Umno setelah suara mereka tidak didengari oleh kerajaan tersebut,” tegasnya.

“Sudah pasti mereka (PH-Umno)  akan berlakon seolah-olah mereka mendengar suara rakyat. Tapi kita jangan lupa. Niat asal mereka adalah untuk menghapuskan insentif yang bagi manfaat kepada rakyat. Niat buruk ini tidak hilang dengan mudah.

“Jika saya dan ahli-ahli Parlimen PN tidak bercakap dalam isu SSPN, maka sudah tentu pihak kerajaan akan hanya bulldoze dan teruskan begitu saja,” kongsi beliau dalam Facebooknya itu.

Selepas kejayaan dalam isu SSPN, ujar beliau lagi, langkah seterusnya yang akan dilakukan ialah mengusahakan  isu pengeluaran wang KWSP secara bersasar oleh rakyat dibenarkan memandangkan KWSP merupakan wang pencarum dan bukannya wang kerajaan.

“Kerajaan PH-UMNO ini nampaknya hidup di alam kayangan dan berterusan menafikan kesusahan dan rintihan rakyat. Sehingga wang rakyat pun mereka anggap seperti milik peribadi mereka.

“Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan kayangan yang zalim  ini bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -