Panjangkan waktu operasi Klinik Kesihatan Kuala Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) melahirkan rasa simpati terhadap isu kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Kesihatan telah mengumumkan pemanjangan waktu operasi selepas waktu pejabat yang dilaksanakan di 52 klinik kesihatan yang dikenal pasti untuk mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital.

- Advertisement -

Justeru itu, beliau meminta disenaraikan juga Klinik Kesihatan Kuala Kedah memandang Hospital Sultanah Bahiyah agak jauh dan sesak.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan menjelaskan perancangan untuk membawa masuk lebih ramai petugas di Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan masalah burn out (lesu upaya).

Beliau berkata demikian semasa mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab perkara itu, Lukanisman berkata, pihaknya sedang melaksana kajian untuk mengenal pasti beberapa klinik lain yang akan diperkenalkan untuk pemanjangan waktu operasi.

“Walaupun demikian itu akan mengikutkan kesesuaian kerana kita faham bahawa pemanjangan waktu operasi adalah menambah bilangan kakitangan dan pembayaran elaun tertentu untuk membolehkan petugas kesihatan menjalankan tugas waktu operasi.

“Kita juga mengambil kira tentang isu burn out dalam kalangan pekerja kesihatan dan juga untuk langkah proaktif daripada Kementerian Kesihatan, kita akan cuba untuk mengusahakan meningkatkan kapasiti kakitangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -