Lebih 354,000 pesakit ginekologi dirawat hospital KKM

Dr Siti Mastura Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sakit puan (ginekologi) merangkumi pelbagai penyakit melibatkan organ reproduktif wanita, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Menurutnya, bilangan kehadiran pesakit bagi mendapat rawatan berkaitan ginekologi (sakit puan) di klinik pakar ginekologi hospital-hospital KKM sepanjang tahun 2016 hingga 2020 adalah antara 292,448 hingga 354,185 pesakit.

“Pesakit-pesakit ini menerima rawatan sama ada menerusi rawatan pesakit luar atau dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan bergantung kepada jenis penyakit yang dihidapi,” kta KKM dalm jawapan bertulis kepada soalan Dr Siti Mastura Muhammad [PN-Kepala Batas] di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut KKM lagi, antara penyakit ginekologi yang sering memerlukan kemasukan ke wad adalah kanser, pendarahan luar biasa, endometriosis, ketumbuhan seperti fibroid dan cyst dan juga infertiliti.

Katanya, daripada senarai tersebut, kanser ginekologi (kanser ovari, kanser uterus, kanser vagina, kanser serviks, dan kanser vulva) merupakan diagnosis yang mencatat angka tertinggi bagi kemasukan pesakit ke dalam wad.

“Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh KKM dalam mengenal pasti punca dan penyelesaian masalah ini adalah dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat, memperhebat program saringan seperti ujian pap smear dan human papilloma virus (HPV) bagi mengesan pra kanser dan meningkatkan kebolehcapaian rawatan gine-onkologi di hospital-hospital KKM,” ujarnya.

Siti Mastura dalam soalannya meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan wanita yang mengalami sakit puan bagi tempoh 5 tahun; dan punca dan penyelesaian kepada masalah penyakit itu. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -