Kerajaan lulus 995,396 kuota pekerja asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) meluluskan seramai 995,396 kuota pekerja asing setakat 14 Mac lalu.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud, berkata sebanyak 84.7 peratus daripada jumlah itu telah dibayar levi oleh pihak majikan.

- Advertisement -

Selepas pembayaran levi, katanya KSM memberi tempoh sehingga 18 bulan kepada majikan bagi maksud urusan membawa masuk pekerja asing ke negara ini.

Menurutnya, keputusan itu bertujuan membantu majikan untuk menguruskan kemasukan pekerja asing dalam tempoh yang mencukupi.

“Daripada jumlah kuota yang diluluskan, sektor yang tertinggi adalah perkilangan (387,122), diikuti pembinaan (342,106), perkhidmatan (143,568), perladangan (76,325), pertanian (45,899) serta perlombongan dan pengkuarian (376),” katanya di Dewan Rakyat.

Mustapha berkata demikian ketika menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) yang meminta senarai semua rundingan yang sedang, telah dan juga dalam proses dengan negara-negara berpotensi membekalkan bekalan tenaga buruh ke negara ini.

Beliau berkata, Malaysia telah menjalinkan kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan 10 negara sumber.

Bagaimanapun, katanya hanya lapan MoU yang masih berkuat kuasa, iaitu dengan Bangladesh, Republik Rakyat China, Indonesia, Pakistan, Thailand, Vietnam, Nepal dan Kemboja. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -