Betulkan niat puasa, bukan kerana diet

Ustaz Mohd Farkhan dalam program Takzirah Zohor Ramadan BAKKAH di Kuala Lumpur pada hari ini, 29 Mac 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam yang kini sedang menjalani ibadah puasa diingatkan agar memperbetulkan niat mereka berpuasa di bulan Ramadan ini hanya untuk ibadah demi Allah SWT.

“Jangan pula niat puasa (di bulan Ramadan) untuk diet, kuruskan badan. Umat manusia perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar segala amat ibadat yang mereka lakukan terutama dalam bulan puasa ini  tidak disia-siakan.” 

- Advertisement -

 “Nabi Muhammad SAW memberitahu, barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian disusuli dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka Allah SWT akan memberikan seseorang itu ganjaran pahala selama setahun.” 

Itu antara petikan tazkirah penuh bermakna daripada Rektor KUIZM, Ustaz Mohd Farkhan Md Zain ketika beliau muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH). 

Tazkirah yang disiarkan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini; dan boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily dan Facebook TV PAS itu berjudul, Ramadan Bulan Pengukuhan Akidah.

Memetik daripada Surah Al-Baqarah, Ayat 185, beliau berkata: “Allah SWT menjelaskan bahawa bulan Ramadan itu juga turunnya al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada semua manusia dengan memaparkan dalil-dalil yang nyata dan menerangkan mana yang hak dan mana yang batil.

Kakitangan Harakah sedang khusuk mendengar tazkirah daripada Ustaz Mohd Farkhan yang berjudul, Ramadan Bulan Pengukuhan Akidah.

“Allah SWT ada menyebut puasa yang betul-betul diterima oleh-Nya adalah mereka yang meninggalkan segala makan dan minum, nafsu syahwatnya kerana beribadat kepada-Nya. 

“Bulan Ramadan diciptakan oleh Allah SWT untuk umat Islam melakukan ibadah puasa dan solat tarawih pada malamnya. Allah SWT akan menentukan ganjaran setiap ibadah yang dilakukan oleh umatnya”. 

Tambah beliau, Ramadan juga merupakan satu bulan untuk memupuk dan meningkatkan keimanan dan akidah umat Islam dari sudut tentang bagaimana umat Islam meyakini bahawa janji Allah itu adalah pasti. 

“Ramadan juga merupakan bulan di mana Allah SWT hendak mengembalikan kesihatan kepada umatnya, di bulan Ramadan inilah umat Islam senang melakukan ibadah kepada Allah SWT disebabkan mereka tidak makan dan minum di siang hari.

“Ramadan juga memupuk semangat nilai kemasyarakatan yang tinggi dalam kalangan umat Islam untuk membezakan dan memupuk nilai-nilai akidah tanpa membatasi dari sudut agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -