Bersatu hati tangani jenayah seksual kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) mengajak semua Ahli Parlimen bersatu hati untuk menangani isu jenayah seksual membabitkan kanak-kanak yang sepatutnya mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk ancaman.

Katanya, jenayah keji ini adalah antara masalah sosial yang besar dan parah dalam masyarakat.

Advertisement

“Menyedihkan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah ini. Tidakkah kita berasa bahawa masyarakat semakin tenat dengan kebejatan moral.

“Tanpa tindakan drastik dan tegas, kita bimbang akan berhadapan kes jenayah seksual yang lebih parah pada masa depan, berbanding sekarang.

“Pada waktu itu, banyak lagi undang-undang yang perlu dipinda. Pada saya, tanpa agama yang akan mencegah rintang nafsu manusia akan pergi lebih jauh,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta penjelasan kerajaan berhubung jumlah kes perbicaraan jenayah seksual yang ditangguh dan tergantung serta faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku.

“Apakah pindaan yang dikemukakan pada hari ini akan menyumbang kepada pengurangan kes tertunggak dan kesan terhadap kes yang sedang berjalan di mahkamah.

“Apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menambah bilangan mahkamah khas di wilayah Utara, Pantai Timur dan juga Selatan,” katanya.

Beliau juga mahukan penjelasan sejauh mana pindaan terhadap cara keterangan saksi kanak-kanak akan memastikan prosiding mahkamah lebih mesra kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 29/3/2023