‘Angin matahari’ bakal badai bumi 31 Mac ini – saintis

Saintis Barat mengakui agak sukar untuk meramal cuaca angkasa dengan tepat. (FOTO: POPULAR MECHANICS)
- Advertisement -

Lubang gergasi bersaiz 20 kali lebih besar daripada bumi telah ‘mengoyakkan’ permukaan matahari dan menimbulkan fenonema ‘badai suria’, dijangka mengeluarkan tiupan angin dengan kelajuan 2.9 juta kilometer per jam, yang akan menuju ke planet ini pada Jumaat, 31 Mac ini.

Penemuan itu didapati oleh saintis yang mengkaji matahari dari Balai Cerap Dinamik Suria Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) yang berpangkalan di New Mexico, Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Saintis berkenaan memantau aliran ‘angin matahari’ itu yang berisiko melumpuhkan medan magnet bumi, satelit dan teknologi di planet ini yang terletak 150 juta km daripada matahari, lapor CNN.

Dikenali sebagai ‘Coronal Hole‘ (atau ‘lubang koronal’), penemuan yang dilaporkan pada 27 Mac itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu pada tahun ini.

Lubang ‘angin matahari’ pertama itu dilaporkan oleh Balai Cerap Dinamik Suria NASA pada 23 Mac lalu, yang saiznya adalah 30 kali lebih besar berbanding saiz bumi, yang mengeluarkan angin suria sehingga mencetuskan fenomena aurora yang menakjubkan sehingga ke selatan Arizona.

Lubang kedua pada matahari yang bersaiz 20 kali ganda lebih besar daripada bumi dikesan pada 27 Mac 2023. (FOTO: Spaceweather/NASA)

Fenomena aurora

Lubang koronal pertama tersebut telah menghasilkan fenomena aurora yang cemerlang pada 24 Mac lalu, yang menerangi langit malam dengan warna ungu dan hijau elektrik.

Aurora ialah fenomena cahaya terang dan indah yang dapat dilihat di langit pada waktu malam, biasanya di kawasan kutub bumi; yang berlaku disebabkan interaksi antara medan magnet dimiliki planet ini dengan cas lepasan zarah-zarah dipancar sebar dari sinaran matahari di tahap ionosfera.

Sementara menurut kenyataan NASA, lubang koronal berkenaan adalah kawasan terbuka secara magnetik yang merupakan salah satu sumber angin suria berkelajuan tinggi.

“Ia kelihatan gelap apabila dilihat dalam banyak panjang gelombang cahaya ultraungu yang melampau, seperti yang dilihat dalam imej yang berjaya dirakam ini. Ada kalanya, angin suria boleh menjana aurora pada latitud yang lebih tinggi di bumi.

“Walaupun imej itu mungkin kelihatan membimbangkan pada mulanya, namun ia tidak menunjukkan bahawa kita berada dalam bahaya,” ujar kenyataan itu.

Tambah NASA, lubang koronal adalah ciri biasa pada matahari, walaupun ia muncul di tempat yang berbeza, terutamanya berhampiran kutub; dan dengan lebih kekerapan pada masa yang berbeza dalam kitaran aktiviti matahari.

“Ia biasa terjadi apabila kedudukan matahari berada pada titik kurang aktif dalam kitaran setiap 11 tahun.

“Kesan lubang matahari biasanya tidak berbahaya, walaupun komunikasi satelit dan penghantaran radio altitud tinggi kadangkala boleh terganggu buat sementara waktu,” ujar kenyataan itu.

Lubang pertama pada matahari yang dikesan pada tahun ini mempunyai saiznya 30 kali lebih besar berbanding saiz bumi.

Berlaku setiap 11 tahun

Dalam pada itu, profesor madya ruang dan fizik iklim di University College London, Daniel Verscahern memberitahu Business Insider bahawa bentuk lubang koronal kali ini tidak begitu istimewa, namun lokasinya menjadikan ia sangat menarik.

“Saya menjangkakan angin kencang yang bertiup dari lubang koronal kedua itu akan muncul di bumi sekitar malam Jumaat (31 Mac) hingga pagi Sabtu (1 April) nanti.

“Lubang koronal boleh menerbitkan angin suria yang sangat laju, dengan kelajuan lebih daripada 800 kilometer sesaat yang bersamaan kira-kira 2.9 km/j,” katanya

Sementara, profesor fizik angkasa lepas di Universiti Reading, Matthew Owen pula berkata, fenomena lubang koronal agak biasa, tetapi ia biasanya muncul ke arah kutub matahari, lokasi n di mana anginnya dimuntahkan ke angkasa.

Perbandingan antara saiz lubang koronal pada matahari yang pertama (foto kanan) dan kedua (kiri). (FOTO: Spaceweather/aia.Imsal/NASA)

“Namun, ketika matahari sedang bersedia ke puncak dalam aktivitinya, yang berlaku kira-kira setiap 11 tahun, lubang-lubang koronal ini lebih berkemungkinan muncul berhampiran khatulistiwa matahari.

“Yang ini (dua lubang koronal pada awal 2023) berada di khatulistiwa bermakna kita cukup terjamin untuk melihat angin kencang dari lubang matahari akan melanda bumi beberapa hari selepas ia berputar melepasi meridian tengah,” katanya.

Sementara menurut NASA, matahari adalah bola besar plasma; yang mana plasma itu bergolak dari bahagian dalam matahari ke permukaannya, dan semasa ia berlaku, ia mencipta medan magnet yang surut dan membengkak, terhempas dan bergabung.

“Lubang koronal muncul apabila medan magnet itu menembak terus ke angkasa,  menjadikannya lebih mudah untuk angin suria (yang sebenarnya kepingan plasma dari matahari) untuk menerjah  ke angkasa dengan kelajuan tinggi.

“Kawasan tersebut secara amnya lebih sejuk dan kurang padat daripada plasma yang panas dan bergolak di sekelilingnya, yang menjelaskan mengapa ia kelihatan sebagai tompok-tompok yang lebih gelap yang kelihatan dalam gambar matahari yang dirakam,” ujar NASA.

Fenomena aurora yang dirakam di langit La Crosse, Winsconsin, Amerika Syarikat pada 24 Mac 2023. (FOTO: NWS La Crosse)

Ribut geomagnet matahari

Sementara menurut Verscahern pula, jika garisan magnet plasma matahari  menghadap ke arah bumi, angin itu akan terhempas ke atmosfera bumi.

“Jika ia berorientasikan ke arah selatan,  lebih berkemungkinan akan berlaku fenomena aurora di angkasa, tetapi kami belum mengetahuinya lagi,” kata Verscharen kepada Insider.

“Apabila angin suria ini berinteraksi dengan atmosfera kita yang bercas, ia boleh menjadikan  fenomena aurora yang  lebih cerah. Tetapi jangan mengharapkan untuk melihatnya di Florida.

“Apabila langit bersinar minggu lalu dengan aurora cemerlang yang dilihat sejauh di selatan Arizona, ia bukan disebabkan oleh lubang koronal sahaja,” jelas beliau.

Tambahnya, kebetulan berlaku beberapa letusan jisim koronal (letusan besar plasma yang dilemparkan ke angkasa), berlaku pada masa yang sama ketika lubang koronal itu menghadap bumi, lalu mewujudkan ribut geomagnet yang besar menuju ke angkasa.

Pemerhatian, pemantauan dan pengkajian saintifik dilakukan terhadap matahari menggunakan kapal angkasa Solar Orbiter yang dilancarkan pada 10 Feb 2020. (FOTO: ESA)

“Dalam kes lubang koronal ini, tidak mungkin ia akan berlaku lagi. Ini mungkin berita tidak baik  bagi peminat aurora, tetapi ia adalah  berita baik untuk pertahanan planet.

“Ini kerana ribut geomagnet yang kuat boleh mendatangkan malapetaka pada satelit, infrastruktur dan isyarat radio di bumi,” jelasnya.

Sementara Verscharen sambil mengeluh berkata, agak sukar untuk saintis meramal cuaca angkasa dengan tepat.

“Kami benar-benar ketinggalan dengan ramalan dan keupayaan ramalan kami untuk cuaca angkasa.

“Itulah sebabnya kami bekerja keras untuk memahami tentang bidang cuaca angkasa dengan bantuan teori fizik, simulasi plasma pada superkomputer, dan misi mengelilingi orbit matahari untuk pengkajian dan pemantauan melalui kapal angkasa, Solar Orbiter yang telah dilancarkan secara bersama antara NASA dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) pada 10 Feb 2020,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -