Banduan sedang jalani hukuman melebihi kapasiti

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah penghuni yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di seluruh institusi penjara adalah seramai 78,236 orang sehingga 2 Februari 2023, berdasarkan rekod Jabatan Penjara.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), daripada jumlah tersebut seramai 72,437 (92.59 peratus) adalah banduan yang ditempatkan di dalam fasiliti, manakala seramai 5,799 (7.41 peratus) adalah banduan yang berada di dalam komuniti (menjalani hukuman di luar tembok penjara).

Katanya, jumlah yang dinyatakan tersebut iaitu 78,236 orang, sebenarnya telah melebihi daripada jumlah kapasiti sebenar yang sepatutnya iaitu 65,762 memberikan jumlah perbezaan sebanyak 6,675 (10.15 peratus) lebihan orang banduan.

“Jumlah tersebut meliputi 39 buah fasiliti penjara dan 3 buah fasiliti melibatkan Sekolah Henry Gurney,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah banduan dan perincian fasiliti penjara serta apakah nisbah warden penjara kepada bilangan banduan.

Tambah KDN, nisbah perbandingan pegawai penjara (warden) dengan banduan di setiap penjara adalah pada nisbah 1 pegawai penjara kepada 3 hingga 5 banduan.

Katanya, kadar itu berubah berasaskan kepada kategori keselamatan penjara, kategori banduan serta keperluan dalam bentuk melaksanakan pelbagai program latihan dan pemulihan banduan.

“Jabatan Penjara Malaysia dari masa ke semasa menjalankan kajian mengenai kesesuaian nisbah pegawai penjara dengan banduan bagi memastikan keperluan dan penempatan pegawai adalah selaras dengan tahap keselamatan penjara, kategori banduan sesebuah penjara dan keperluan pemulihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -