KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan Urusan Kajian Semula Persempadanan berdasarkan keperluan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, bagi melaksanakan cadangan pertambahan kerusi Dewan Rakyat bagi negeri Sabah dan Sarawak, pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan berkaitan komposisi Ahli Dewan Rakyat perlu dibuat terlebih dahulu dan pindaan itu perlu mendapat persetujuan 2/3 daripada jumlah Ahli Dewan Rakyat.
“Kajian akan dilaksanakan berkenaan perkara ini sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan dasar,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee [PN-Beluran] di Dewan Rakyat.
Katanya, kajian mengenai perkara itu dijangka akan mengambil sedikit masa oleh sebab ia melibatkan pindaan undang-undang khususnya berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
Ronald Kiandee dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan bilakah kerajaan akan melaksanakan pemberian 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – HARAKAHDAILY 28/3/2023