
NASHVILLE: Tiga orang kanak-kanak dan tiga warga emas terbunuh dalam serangan tembakan rambang terbaharu di kawasan sekolah Amerika Syarikat, kali ini oleh suspek dipercayai merupakan seorang transgender.
Penyerang yang menggunakan dua senjata dalam kejadian pada Isnin, (27 Mac), waktu tempatan, dalam kejadian di Sekolah Rendah Covenant Nashville itu adalah bekas pelajar sekolah tersebut, Audrey Elizabeth Hale, 28, dari Nashville, lapor The Guardian.
Jurucakap polis Nashville, Don Aaron berkata panggilan pertama mengenai tembakan di sekolah Kristian swasta itu diterima pada jam 10.13 pagi.
“Sekolah Rendah Covenant mempunyai kira-kira 209 pelajar dari prasekolah hingga darjah enam dan 42 kakitangan.
“Suspek memasuki tingkat bawah sekolah dan terdapat tembakan di seluruh lantai sebelum (penyerang) pergi ke tingkat atas, di mana dia berhadapan dengan polis sebelum ditembak mati pada jam 10.27 pagi.
“Tembakan berlaku di kawasan lobi dan bukan di dalam bilik darjah,” jelas Aaron sambil menambah bahawa tiada anggota polis ditugaskan mengawal sekolah itu.
Sehubungan itu, pihak polis telah mengenal pasti mangsa yang maut sebagai Evelyn Dieckhaus, Hallie Scruggs dan William Kinney – kesemuanya berumur sembilan tahun; Cynthia Peak, seorang guru ganti berusia 61 tahun; Katherine Koonce, 60,; dan Mike Hill, penjaga sekolah itu yang berumur 61 tahun.

Sementara Ketua Polis Nashville, John Drake mengesahkan suspek adalah bekas pelajar sekolah itu dan telah dikenal pasti sebagai seorang transgender.
“Suspek memasuki sekolah dengan menembak melalui pintu masuk, yang mana peta sekolah berkenaan telah dilukis, termasuk pintu masuk berkenaan. Kami menemui beberapa tulisan manifesto yang dihasilkan oleh suspek yang akan kami teliti,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek langsung tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sambil menambah dua senjata yang digunakan dalam serangan itu terdiri daripada senapang dan pistol yang dipercayai dibeli secara sah oleh suspek.
“Pihak berkuasa sedang bercakap dengan bapa suspek,” ujar Drake.
Merujuk kepada laman web sekolah berkenaan, ia telah dibina pada tahun 2001 oleh pertubuhan Presbyterian yang menyenaraikan Katherine Koonce sebagai penaungnya. Profil dalam talian LinkedIn miliknya mengatakan Koonce yang turut maut dalam kejadian itu telah memimpin sekolah itu sejak Julai, 2016.

Dalam pada itu, Drake berkata sekolah yang bersambungf dengan gereja Covenant Presbyterian itu mempunyai protokol serangan penembak, yang mana ketika serangan itu beberapa kanak-kanak telah ‘dipindahkan ke garisan kayu’ di belakang sekolah itu, manakala sebahagian lagi ditempatkan di balai bomba berhampiran.
“Selepas kejadian tembakan itu, murid-murid dilihat berjalan, berpegangan tangan dan dikelilingi oleh kenderaan polis, di gereja Woodmont Baptist berdekatan, untuk bertemu semula dengan ibu bapa masing-masing,” ujar Drake sambil menambah rakaman keselamatan di sekolah itu ketika kejadian akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sementara, seorang wanita, Avery Myrick memberitahu pemberita bahawa dia menghantar mesej teks kepada ibunya yang mengajar di sekolah itu ketika serangan tersebut berlaku.
“Ibu saya berkata dia bersembunyi di dalam almari dan bahawa penyerang menembak di seluruh sekolah, dan berpotensi cuba masuk ke dalam bilik darjah. Ia benar-benar menakutkan, sangat menyedihkan,” katanya.

Merujuk kepada Gun Violence Archive, kejadian terbaharu di Nashville itu merupakan serangan tembakan besar-besaran di tempat umum di AS yang ke-128 pada tahun ini, yang mentakrifkan istilah ‘tembakan besar-besaran’ sebagai kejadian yang mana sekurang-kurangnya empat orang cedera atau terbunuh, tidak termasuk penyerang.
Menurut sumber Pangkalan Data K-12 School Shooting pula, terdapat sekurang-kurangnya 89 kejadian keganasan senjata api membabitkan tadika dan sekolah dengan murid berusia 12 tahun ke bawah sepnjang sesi persekolahan di di AS pada tahun ini.
Pada Mei tahun lalu, di Uvalde, Texas, 19 kanak-kanak dan dua guru terbunuh di sebuah sekolah rendah.
Sementara baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia enam tahun menembak gurunya di Virginia dan seorang pelajar sekolah menengah di Colorado menembak dua pentadbir sekolahnya.
Pada 2020, senjata api mengatasi kemalangan kereta sebagai punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di AS. – HARAKAHDAILY 28/3/2023