Tetamu Allah pada bulan berkat

- Advertisement -

SETIAP orang yang beriman sangat bergembira menyambut ketibaan Ramadan yang mulia, malah bergembira menjadi tetamu Allah dan percaya kepada janji Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang.

- Advertisement -

Dalam bulan Ramadan, dihidangkan keperluan roh, akal dan jasad, bersama janji ganjaran yang tidak terhingga. Tujuannya adalah untuk mentarbiah diri dengan iman, amal soleh dan akhlak mulia yang akhirnya mencipta sifat taqwa, syukur, dan sabar. Merangkumi perkara-perkara berkaitan iman, Islam dan ihsan yang melengkapi maksud al-din yang sempurna, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

﴿…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ…٣﴾

“…Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Perkara ini ditafsirkan dengan lebih mendalam melalui soalan malaikat Jibril AS kepada Rasulullah SAW yang bertujuan memberikan pengajaran kepada para sahabat RA.

Sesungguhnya, ibadat puasa mempunyai fadilat yang paling besar kerana seseorang itu berlapar, berdahaga, makan dan minum yang padanya diberikan pahala, sehinggalah kepada perbuatan berjaga dan tidur yang merehatkan roh, jasad dan akal.

Segala amalan soleh ini mendorong sahsiah manusia untuk mengikut fitrahnya untuk menjalani kehidupan secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat madani yang betul mengikut fitrah petunjuk Allah, Pencipta alam. Dialah yang menetapkan peranan kepada makhluk manusia, mengapa mereka diciptakan. Firman Allah SWT:

﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥﴾

“Maka, adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu secara main-main (sahaja)? Dan kamu (pula menyangka) bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)

Adapun tujuan terpenting manusia diciptakan adalah untuk beribadat dengan maksud memperhambakan sepenuh diri bagi menyatakan kesyukuran kerana diciptakan dengan kelebihan dan kurniaan-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ٥٦ مَآ أُرِيدُ مِنۡهُم مِّن رِّزۡقٖ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ٥٧ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ٥٨﴾

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (56) Aku tidak sesekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57) Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang Memberikan rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya. (58)”  (Surah al-Zariyat: 56-58)

Manusia diperintahkan menegakkan syiar ibadat secara langsung dengan cara menyembah Allah dengan jasad, roh, akal dan harta, bagi memakmurkan bumi dengan syariat Allah yang sempurna.

Oleh sebab itu, pada bulan Ramadan, diwajibkan berpuasa untuk menzahirkan syiar ibadat dengan jasad, roh, akal dan harta. Ibadat yang mengumpulkan amalan yang zahir (Islam), aqidah yang sahih (iman) dan jiwa yang bersih (ihsan). Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Sifat taqwa adalah tanda perhambaan yang nyata yang menjadi penentuan martabat manusia di sisi Allah SWT, bukan baka keturunan, harta, pangkat, rupa paras dan warna kulit. Sifat yang tumbuh dalam hati nurani yang memandu akal dan menggerakkan anggota jasad supaya beramal soleh dan berakhlak mulia dalam hubungan dengan Allah dan makhluknya di seluruh alam, termasuk diri sendiri. Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki (Adam AS) dan perempuan (Hawwa’ AS), dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Demikianlah puasa yang ikhlas kerana Allah yang bercirikan ibadat akan mencipta sifat taqwa yang seterusnya melahirkan integriti yang sebenar. Perkara ini hanya terdapat dalam Islam, dan tiada dalam agama dan ideologi yang lain kerana tiada padanya aqidah tauhid (kepercayaan kepada Allah Tuhan yang Maha Esa), perkara ghaib di luar kemampuan akal dan Hari Akhirat.

Ramadan mencipta sifat syukur atas kurniaan Allah SWT, setelah dilatih berlapar seharian menahan nafsu, tiba-tiba dikejutkan dengan ni‘mat iftar (berbuka) yang memberi keinsafan agar bersyukur. Orang yang tidak pernah lapar, tidak akan merasa insaf dengan ni‘mat makan dan minum daripada rezeki Allah, lalu menyebabkan mereka tidak bersyukur.

Syukur ialah sifat yang ada pada segelintir manusia, kerana ramai yang lalai apabila senang dan sihat, serta tinggi pangkatnya. Firman Allah SWT:

﴿…وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ١٣﴾

“Dan sedikit sekali daripada kalangan hamba-hamba-Ku yang bersyukur (berterima kasih).” (Surah Saba’: 13)

Ramadan juga melahirkan sifat sabar hasil daripada menahan kelaparan dan keinginan nafsu yang diwajibkan ketika berpuasa, serta kesan daripada keletihan lapar dan dahaga. Berbeza dengan sifat syukur, kerana lebih ramai orang yang boleh bersabar. Bersabar menjadikan diri seseorang itu mengingati Allah SWT apabila sampai kemuncak kesusahan dan tiada tempat pengaduan melainkan kepada-Nya. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا١٩ إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعٗا٢٠ وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَيۡرُ مَنُوعًا٢١ إِلَّا ٱلۡمُصَلِّينَ٢٢﴾

“Sesungguhnya, manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah lagi bakhil (kedekut). (19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah. (20) Dan apabila dia mendapat kebaikan, dia amat kedekut, (21) Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. (22)” (Surah al-Ma‘arij: 19-22) 

Kehadiran Ramadan mencipta sifat yang ada pada orang yang beriman, sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يَقْضِي اللَّهُ لِلْمُؤْمِنِ قَضَاءً إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ فَشَكَرَ كَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ فَصَبَرَ كَانَ خَيْرًا لَهُ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ غَيْرِ الْمُؤْمِنِ.

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam tangan-Nya! Tiadalah suatu penentuan nasib yang Allah timpakan ke atas seseorang yang beriman melainkan membawa kebaikan kepadanya. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya. Tiada sesiapa yang mendapat kebajikan ini melainkan hanya kepada orang yang beriman.” (Riwayat Muslim, no. 2999. Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya dengan lafaz yang berbeza)

Selain itu, dikurniakan pula kelebihan Ramadan dan ibadat puasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ.

Daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan manusia adalah untuknya melainkan ibadat puasa, maka ia adalah terpulang kepada-Ku dan Aku yang akan menentukan pahalanya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1761 dan Muslim, no. 1946)

Setiap amal kebajikan, walaupun hanya sekadar berazam, sudah dikurniakan satu pahala. Akan tetapi, setelah amal itu dilakukan, maka pahala akan digandakan pula sepuluh kali ganda, melainkan ibadat puasa. Sesungguhnya, ibadat puasa pahalanya itu terserah kepada Allah SWT sehingga tidak terhingga kelebihannya.

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌أَفْطَرَ ‌يَوْمًا ‌مِنْ ‌رَمَضَانَ، مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ وَلَا مَرَضٍ، لَمْ يَقْضِهِ صِيَامُ الدَّهْرِ وَإِنْ صَامَهُ.

“Sesiapa yang meninggalkan sehari puasa Ramadan tanpa keuzuran dan sakit, nescaya tidak akan mencapai pahalanya walaupun dia berpuasa sepanjang hayat. Sekalipun dia mampu melakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dalam hadis bab ‘Apabila Menyetubuhi Pada Siang Hari Dalam Bulan Ramadan’)

Bahkan, amalan bersahur dan berbuka juga termasuk dalam perkara ibadat puasa, walaupun men‘imati makanan dan minuman. Sabda Rasulullah SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ.

“Pada amalan bersahur itu terdapat keberkatan, maka janganlah kamu tinggalkan sahur itu meskipun salah seorang daripada kamu hanya minum seteguk air. Demikian itu, sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.” (Riwayat Ahmad, no. 10664)

Sabda Rasulullah SAW:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ.

“Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kebaikan, selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa (apabila tiba waktunya tanpa bertangguh).” (Riwayat al-Bukhari, no. 1957 dan Muslim, no. 1098)

Di samping amalan yang diwajibkan seperti biasa, digalakkan pula melakukan amalan sunat yang mempunyai fadilat khusus seperti sembahyang sunat tarawih dan tahajjud, bertadarus al-Quran, beriktikaf, bersedekah dan menjamu orang yang berpuasa dengan makanan berbuka puasa.

Pada bulan Ramadan juga, diberikan kelebihan malam al-Qadar (Lailah al-Qadar) di mana satu malam diberikan kelebihan yang menyamai ganjaran seribu bulan. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ١ وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ٢ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ٣ تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذۡنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمۡرٖ٤ سَلَٰمٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ٥﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. (1) Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? (2) Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. (4)  Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar. (5)” (Surah al-Qadr: 1-5)

Pada bulan Ramadan, Allah SWT mengurniakan keampunan daripada dosa-dosa kecil yang dilakukan setahun yang lalu. Hal ini dinyatakan melalui sabda Rasulullah SAW:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ.

“Sembahyang lima waktu yang didirikan, dari satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya, maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar.” (Riwayat Ahmad, no. 8830)

Bulan yang mulia ini menjadi pilihan Allah untuk berlakunya peristiwa besar, antaranya peristiwa penurunan al-Quran. Firman Allah SWT:

﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ …١٨٥﴾

“(Masa yang diwajibkan kalian berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Al-Quran ialah Kalam Allah yang wajib diterima menjadi petunjuk tanpa ragu akan kebenaran dan keadilannya, dan membezakan antara betul dengan salah. Ia diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang dipilih oleh Allah SWT untuk menyampaikan dan menyatakan cara beramal dengannya. Allah SWT menegaskan:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi mana-mana lelaki dan perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, tidaklah harus bagi mereka membuat pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Hikmah ibadat puasa mendidik manusia supaya menerima semua petunjuk Allah dan meletakkan akal pada tempat yang mulia dengan petunjuk al-Quran, supaya dapat melaksanakan tujuan manusia diciptakan. Bukan untuk memenuhi nafsu keinginan jasad seperti binatang yang dimakan dan dipergunakan untuk kemudahan duniawi, tetapi untuk melaksanakan tugas mulia beribadat laksana malaikat. Oleh sebab itu, manusia dikurniakan kelebihan berakal, tidak seperti binatang.

Manusia juga ditugaskan untuk memakmurkan bumi dengan pergerakan diri dan bermasyarakat madani, berpandukan petunjuk Allah SWT daripada al-Quran. Maka, ditegakkan negara berkonsep hidayah (petunjuk Allah), bukannya jibayah (kebendaan).

Manusia yang berakal tetap bersifat lemah yang mewajibkan mereka mengikut petunjuk Allah Pencipta alam. Ternyata kalangan cerdik pandai yang tersohor mencipta ajaran dan fahaman sesat apabila mereka meninggalkan petunjuk Allah SWT. Malah, juga akan tersesat apabila bersifat takabbur dengan akal dan ilmunya sahaja atau tidak ikhlas dengan kebijaksanaannya.

Oleh kerana ada manusia yang beriman, kafir dan munafiq dalam kalangan manusia yang berilmu, berakal dan jahil, maka wujud pertembungan di alam dunia yang menjadi ujian kepada manusia yang berakal. Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ٣﴾

“Alif lam mim (1) Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka belum diuji? (2) Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (3)”  (Surah al-‘Ankabut: 1-3)

Peristiwa Badar al-Kubra dan Fathu Makkah yang berlaku pada bulan Ramadan memberikan semangat perjuangan untuk menghadapi ujian paling getir bagi mencapai kemenangan dengan syarat mendapat pertolongan Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ…٢٠٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam diri kamu apabila mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran (di medan perjuangan menghadapi musuh), dan bersedialah (menjalankan tugas di tempat masing-masing) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)….” (Surah Ali ‘Imran: 200)

Pada bulan Ramadan, berkumpulnya ciri-ciri iman, bersabar dalam perjuangan melawan nafsu diri sendiri dan musuh, taat dan wala’, serta taqwa, yang lahir bersama hidangan menjadi tetamu Allah yang penuh pengajaran dan keberkatan. Semua perkara ini merupakan asas bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat dengan menegakkan Islam yang sempurna dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Ramadan 1444 / 28 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -