TAPS bernilai RM630 juta dibina di Machang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang menerusi Rolling Plan Tiga dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Seri Huang Tiong Sii, berkata peruntukan untuk projek tersebut adalah sebanyak RM630 juta.

Advertisement

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024 dengan tempoh pembinaan selama tiga tahun dan dijangka siap pada 2027.

“Projek dengan kapasiti 500 juta liter sehari mampu menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi untuk diproses bagi membekalkan air terawat kepada pengguna di kawasan utara Kelantan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Tiong Sii berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan Senator Balasubramaniam Nachiappan mengenai pelaksanaan projek berkenaan. – HARAKAHDAILY 28/3/2023