Tangga gaji masih seperti 22 tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) meminta kerajaan mempertimbangkan melakukan pelarasan gaji penjawat awam berikutan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Katanya, skim tangga gaji penjawat awam sedia ada sudah terlalu lama, iaitu sejak 2001.

Advertisement

“Kebanyakan penjawat awam meminta pelarasan semula tangga gaji yang kali terakhir dilakukan kira-kira 22 tahun lepas. Pada masa sama, kos sara hidup sekarang jauh lebih tinggi berbanding dahulu.

“Sesetengah penjawat awam terpaksa melakukan dua atau tiga kerja bagi menampung kenaikan kos kehidupan,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Malah Kalam berkata, hasil kajiannya ke atas 50 orang responden dalam kalangan guru mendapati, keseluruhan mereka mahukan pelarasan semula tangga gaji.

“Jika kenaikan gaji adalah berdasarkan kantung ekonomi negara, sampai bila gaji mereka berupaya dinaikkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023