Status Bahasa Melayu perlu dimartabatkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun adalah bahasa agung yang mempunyai nilai dan identiti tersendiri, Hassan Saad (PN-Baling) berkata, peruntukan untuk memartabatkan Bahasa Melayu tidak menunjukkan peningkatan.

Sejak tahun lalu, katanya peruntukan tidak berubah dan meminta Kementerian Pendidikan menilai semula usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu ke persada antarabangsa.

- Advertisement -

“Terjemahan buku dari luar perlu diperbanyakkan menerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Begitu juga dengan penterjemahan kitab Jawi tua (turath) ke bahasa lain,” katanya ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Melalui usaha itu, katanya secara tidak langsung dapat mempromosi khazanah budaya dan Islam ke seluruh dunia.

“Rugi jika kita tidak mempromosikan buku khazanah Melayu Islam di seluruh dunia,” katanya.

Hassan turut menyuarakan nasib sekolah agama rakyat di Parlimen Baling.

“Di Baling terdapat lebih 30 sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan pondok, tetapi agak malang kerana terdapat sekolah yang keadaannya tidak baik dan tidak selesa.

“Saya harap kementerian dapat memberi perhatian terhadap kemudahan asas sekolah yang telah melahirkan ramai ilmuwan dan pemimpin besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -