Solusi tangani kenaikan kos haji dan umrah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos haji dan umrah yang melonjak sejak kebelakangan ini menjadi perhatian Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut).

Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan strategi dan solusi kementerian untuk menangani kos haji dan umrah yang melonjak naik ketika ini.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana adalah di luar kawalan Lembaga Tabung Haji (TH).

“Antara langkah strategik bagi menangani kenaikan kos haji, TH telah memeterai perjanjian jangka panjang bagi beberapa perkhidmatan asas termasuk penerbangan khas haji, penyewaan bangunan penginapan di Makkah dan Madinah serta sajian makan jemaah haji untuk mengikat harga yang dikenakan.

“Bagi kos umrah pula, ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kerajaan mengambil maklum ke atas perkara melibatkan peningkatan kos umrah ini,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairil Nizam ketika mengemukakan soalan tambahan bertanya, adakah kerajaan mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan kadar pengeluaran untuk urusan haji.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan kaedah yang digunakan berkaitan golongan T20 yang terpaksa membayar penuh kos mengerjakan haji.

“Apakah kerajaan menggunakan kaedah pukul rata kepada seluruh T20 atau pun ada syarat yang dikenakan kepada mereka.

“Kita tahu, mereka juga perlu melalui faktor lain seperti lokaliti sara hidup, jumlah anak yang ramai dan tanggungan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023