KUALA LUMPUR: Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Kementerian Pendidikan menyatakan status pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Pelangi Perdana yang sepatutnya dibina pada 2018, tetapi hanya ada tapak hingga kini.
Menurutnya, projek pembinaan sekolah telah diluluskan dalam Rolling Plan 1 (Tahun 2016) Rancangan Malaysia Ke-11.
Katanya, projek di Parlimen Parit Buntar itu dengan peruntukan RM54 juta sepatutnya bermula pada 2018 dan siap pada Disember 2023.
“Namun sehingga sekarang, tiada tanda pembinaan bangunan sekolah bermula dibina. Sekarang hanya ada tapak.
“Apakah status projek itu sekarang?” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau meminta kerajaan menyatakan perkembangan projek kerana rakyat ingin tahu status pembangunan projek itu. – HARAKAHDAILY 28/3/2023