Sanusi berbuka ala kadar, jadi imam solat Maghrib

- Advertisement -

MERBOK: Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke Masjid Al-Busyra, di sini untuk berbuka puasa semalam, membanggakan warga setempat

- Advertisement -

Imam masjid berkenaan, Ustaz Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, beliau dimaklumkan oleh salah seorang ahli jawatankuasa masjid, kira-kira jam 7.00 petang, setengah jam sebelum waktu berbuka puasa.

“Siak telefon saya, maklum Menteri Besar (MB) dalam perjalanan untuk berbuka puasa di Masjid Al-Busyra. Waktu itu sekitar pukul 7.00 petang, saya baharu sampai di rumah,” jelasnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi, semalam.

Ujarnya lagi, pihaknya memang tidak menyangka MB akan hadir ke masjid tersebut memandangkan pihak masjid hanya menyediakan juadah ringkas ketika waktu berbuka puasa.

Namun jelasnya lagi, Sanusi dilihat tidak kekok berbuka puasa bersama jemaah lain walaupun jamuan ala kadar sahaja.

“Alhamdulillah lah, saya lihat MB tidak kisah pun. Sama-sama berbuka puasa walaupun jamuan ala kadar sahaja,” tambahnya lagi.

Sanusi bukan sahaja mengimamkan solat Maghrib malah turut menunai solat sunat terawih bersama-sama jemaah di masjid terbabit.

“MB juga bersama-sama jemaah di sini, solat terawih bersama-sama. Memang perkara ini akan menjadi kenangan manis bagi kami,” tambah Firdaus lagi.

Sebelum itu Menteri Besar turut meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di bazar ramadan masjid terbabit. 

Dalam perjalanan pulang, Adun Jeneri itu singgah di kedai rojak viral di Simpang Empat, Merbok. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -