Rakyat makin tertekan di bawah kerajaan PH-BN

Kamarul Jamaluddin
- Advertisement -

SELAYANG: Rakyat terutamanya golongan B40 semakin tertekan di bawah era kerajaan PH-BN apabila banyak kemudahan yang disediakan kerajaan sebelum ini dimansuh.

- Advertisement -

Antaranya pemansuhan Skim Rumah Pertama menyebabkan golongan muda yang baharu bekerja sukar memiliki rumah sendiri.

Dan terbaharu kerajaan mengumumkan menarik balik inisiatif pelepasan cukai terhadap simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ketua Pemuda PAS Selayang Kamarul Jamaluddin berkata, kerajaan sekarang dianggap tidak cakna dan seolah menindas rakyat apabila simpanan SSPN tidak lagi mendapat inisiatif daripada kerajaan.

Sedangkan katanya simpanan SSPN merupakan salah satu tabung pendidikan yang dilindungi kerajaan.

“Melalui SSPN Prime patuh syariah pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT perlu membuka akaun tersebut sebelum dapat memohon bantuan pinjaman pendidikan PTPTN.

“Kemudahan tersebut amat membantu golongan B40, malah turut dinikmati golongan M40 yang dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim dilapor berkata, bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Menurutnya kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

Kamarul berkata, keputusan kerajaan PH-BN itu sekali lagi merobek hati ibu bapa muda daripada mendapat pelepasan cukai individu.

“Rakyat semakin terdesak. Jangan terus ditekan, diperah dan dihimpit mereka kiri dan kanan. Menteri seharusnya fikirkan kebajikan rakyat, bukan umpama tikus membaiki labu.

“Pemuda PAS Selayang amat dukacita dengan kenyataan timbalan menteri terbabit dan berharap kerajaan dapat mengkaji semula keputusan itu demi masa depan anak-anak bangsa.

“Biar pun kerajaan terdesak untuk mengutip cukai, namun jangan jadikan rakyat mangsa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -