Perkhidmatan pensyarah IPG perlu insentif berbeza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) dilihat semakin kurang diminati warga pendidik.

Sehubungan itu, Sabri Azit (PN-Jerai) mencadangkan agar perkhidmatan pensyarah IPG diberi kelebihan insentif yang berbeza berbanding guru di sekolah.

- Advertisement -

“Ini kerana IPG menjalankan fungsi pendidikan tinggi peringkat ijazah sarjana muda dan diploma pasca siswazah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, ini juga selaras dengan visi IPG untuk menjadi institusi latihan perguruan yang terkenal di Malaysia dari segi keupayaan menawarkan program perguruan dan melahirkan guru yang berkualiti tinggi serta menjadi pilihan utama bakal guru.

Sementara itu, katanya Kementerian Pendidikan perlu memberi tumpuan kepada IPG dari segi perkhidmatan, kemudahan dan diangkat dalam struktur KPM.

“IPG memainkan peranan penting untuk menjayakan wawasan negara, merupakan institut latihan yang terbukti dalam melahirkan produk guru yang berkualiti dan mampu mendepani cabaran pendidikan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -