Perkasakan konsep hospital mesra ibadah

Muhammad Ismi Mat Talib
- Advertisement -

PADA minggu ini, berpeluang dalam perbahasan jawatankuasa Kementerian Kesihatan yang daripada Ahli Parlimen berbahas sebelum undian meluluskannya.

- Advertisement -

Atas peluang diberikan, beberapa isu yang berkaitan dengan urusan kesihatan dalam negara kita telah diutarakan untuk perhatin kerajaan.

Salah satu cadangannya yang disuarakan adalah berkenaan pemerkasaan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI). Program ini merupakan program di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan merupakan satu konsep yang digunakan dalam pengurusan hospital untuk mencapai nilai-nilai kecemerlangan dan jati diri pada kakitangan hospital serta memfokuskan kepada kesejahteraan pelanggan melalui penerapan serta penghayatan ibadah semasa dan selepas mendapat rawatan.

Dalam Al-Quran penegasan Allah SWT jelas menyatakan, ibadah dilaksanakan mengikut kadar kemampuan yang bermaksud: “Maka bertakwalah kepada Allah dengan kadar kemampuan kamu”. (Surah al-Taghabun: 16)

Firman Allah SWT membuktikan bahawa ibadah wajib dilakukan walaupun dalam keadaan sukar, contohnya semasa menerima rawatan atau ketika menjalani rawatan.

Dalam erti kata lain, kakitangan hospital khususnya perawat perubatan Muslim perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan pesakit Muslim menerima bimbingan yang betul untuk melakukan ibadah dan amalan keagamaan. 

HMI juga akan mempamerkan nilai-nilai Islam seperti pemakaian patuh syariah, fasiliti ibadah untuk pengunjung, kakitangan dan pesakit, pengimarahan perkongsian ilmu agama, penguatkuasaan halal dan biah solehah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Panduan beribadah (Fiqh Ibadah Pesakit) dijelaskan dengan sempurna dan pada masa yang sama bertindak sebagai kaunselor dan sahabat kepada pesakit dan ahli keluarganya. 

Kewajaran memberikan panduan kepada pesakit untuk beribadah menjadi satu kewajipan dan bukan pilihan terutama berkaitan perkara asas seperti cara wuduk pesakit, pelaksanaan tayamum, cara solat pesakit dan beberapa berkaitan ibadah pesakit.

Maka perjawatan pegawai syariah menjadi satu keperluan untuk diwujudkan agar segala usaha merealisasikan HMI ini dicapai dengan baik sekali gus boleh dijadikan model kepada dunia.

Di Malaysia, amalan seperti  ziarah  pesakit  oleh  pegawai  agama  atau sukarelawan hospital yang membantu pesakit sudah wujud namun tiada suatu latihan  khusus  atau  garis  panduan  yang  tepat bagi  membantu  pesakit dan keluarga  dari sudut keperluan  spiritual.

Realitinya kini negara Islam lain seperti Brunei, Jordan sudah lama menggunakan perkhidmatan pegawai agama di hospital dalam urusan ini.

Peranan pegawai agama di hospital boleh membantu pesakit dari banyak aspek memberi tazkirah, atau memberi tunjuk ajar kepada pesakit dalam menunaikan solat ketika uzur sehinggalah mengajar pesakit yang sedang melalui sakaratulmaut untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Pengucapan dua kalimah syahadah ini sangat penting kepada individu dalam saat menghampiri kematian seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ

Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga. (Hadith riwayat Abu Daud – 3316)

Perkara ini pernah disaksikan saya sendiri, apabila pesakit Muslim yang menghadapi saat kritikal namun tiada bimbingan dari ahli keluarga atau pegawai perubatan yang merawat. Kondisi seumpama ini sangat tidak wajar bahkan sepertimana yang dinyatakan dalam hadis berkaitan betapa pentingannya ucapan terakhir sebelum nafas terhenti dijemput Ilahi.

Untuk permulaan, perjawatan bagi perkhidmatan pegawai agama di hospital boleh dilaksanakan secara kontrak dahulu untuk diwujudkan pada masa ini bagi tujuan perintis.

Usaha ini yang dinamakan hospital chaplaincy di negara Barat sangat signifikan kerana kita perlu usahakan tempoh pesakit Muslim yang mendapat rawatan diselangseli dengan rawatan jiwa dan kemuncaknya mampu menyebut nama Allah Taala semasa tempoh kematian menghampiri masing-masing.

“Malaysia Sejahtera”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
28 Mac 2023 | 6 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -