Pengundi tertipu agenda politik murahan PH-Umno

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Pelantikan ahli politik PH-BN sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) dianggap bertentangan kempen PH ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pelantikan itu jelas bercanggah dengan apa yang dilaung PH, tiada lantikan politik jika mereka menerajui kerajaan.

Katanya jelas apa yang berlaku sekarang mereka cakap tidak serupa bikin.

“Mungkin bagi mereka manifesto dan cakap-cakap semasa kempen itu bukan kitab suci yang perlu diikuti.

“Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH sedar mereka sedang menelan kembali ungkapan dan kata-kata sebelum menjadi kerajaan,” katanya pada kenyataan di sini.

Media sebelum ini mendedahkan ramai pemimpin PH dan Umno dilantik sebagai pengerusi GLC antaranya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki sebagai Pengerusi MARA.

Ekoran itu pakar ekonomi politik Prof Dr Edmund Terence Gomez bimbang pelantikan Dr Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung Umno sebagai Pengerusi MARA.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai ‘salah’ yang disifatkan bermotifkan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Ahmad Azlan juga berkata, Anwar turut dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional.

Menurutnya kasihan kepada rakyat dan pengundi yang mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas seperti tertipu dengan agenda politik murahan PH dan Umno.

“Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pahang ingin menegaskan PH-BN bukan sebuah pakatan politik yang menjaga kebajikan rakyat tetapi hanya pakatan politik yang memikirkan jawatan untuk survival politik mereka.

“Saya mengajak pengundi khususnya anak muda yang akan mengundi di enam PRN nanti memastikan PH-BN tumbang dan kebajikan rakyat akan lebih terbela di bawah PN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -