Pemborong, pengeluar yang patut jual pada harga Rahmah

Kos menu Rahmah tidak ditanggung kerajaan tetapi oleh golongan peniaga yang sepertimana rakyat marhaen lain turut dibebani dengan masalah kenaikan kos bahan mentah. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

MENU Rahmah adalah suatu  inisiatif kerajaan yang kosnya adalah  tidak ditanggung kerajaan. Kerajaan hanya menetapkan apakah hidangan yang perlu ada dalam menu tersebut dan mestilah dijual dengan harga RM5 atau kurang.

Justeru, yang menangguh kosnya ialah pengusaha-pengusaha kedai makan sendiri tidak kira berapa pun harga bahan mentah semasa. Bermakna yang tanggung kos Menu Rahmah itu juga adalah golongan rakyat. 

- Advertisement -

Menu ini diperkenalkan saat mereka sebenarnya tertekan dan dibebani  dengan kenaikan kos bahan mentah menyebabkan ramai peniaga mengeluh.

Mereka tersepit kerana terpaksa menyokong hasrat kerajaan yang memperkenalkan perkara ini. Jika tidak sokong, bimbang nanti dilihat menyokong pembangkang pula.
Sementelah lagi kerajaan PH-BN sedang bertindak agresif kepada mereka yang dilihat cenderung pembangkang.

Strategi ini yang terus pergi kepada peniaga makanan siap masak sebagai pengeluar akhir merupakan satu tindakan yang tidak wajar. 

Sedangkan mereka berdepan dengan dua peringkat dalam saluran pengedaran iaitu pengeluar (sama ada pekilang, peladang atau penternak) dan peringkat kedua ialah pemborong.

Kerajaan sepatutnya mendesak agar pengeluar dan pemborong menjual barangan mentah pada harga Rahmah.

Rakyat mahukan harga bahan mentah yang rendah agar mereka dapat menikmati kos sara hidup yang rendah dalam erti kata yang sebenarnya. 

Bukan hanya dapat menikmati makanan dengan harga rendah hanya jika membeli makanan siap masak di restoran tertentu sahaja.

Sedangkan golongan B40 sinonim dengan memasak sendiri di rumah untuk menjimatkan belanja.

Perihal inisiatif ini yang kosnya tidak ditanggung oleh kerajaan kerap diulang oleh Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dengan penuh bangga seolah-olah beliau sudah cukup bijak memperkenalkan suatu inisiatif yang tidak menggunakan wang pembayar cukai.

Namun hakikatnya, kerajaan dilihat cuba mendapat kredit mudah memperkenalkan menu ini agar dilihat berjaya mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi yang teruk menanggung adalah peniaga-peniaga makanan terutamanya Melayu.

Ini bagaikan babak dalam filem Tiga Abdul apabila Abdul Wahub yang ‘membayar zakat’ dengan harta Ismet Ulam Raja, bukan dengan hartanya sendiri.

Jumlah sebenar restoran yang menyertai program ini juga menimbulkan tanda tanya 

Pada 31 Januari 2023, dalam satu laporan media, Menteri KPDN itu dengan bangga mengumumkan sebanyak 15,000 restoran di seluruh negara terlibat dalam menyediakan Menu Rahmah. 

Namun pada 17 Februari timbalannya, Fuziah Salleh pula berkata, langkah kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah sejak awal bulan Februari sudah menarik penyertaan 512 premis seluruh negara. 

Jika diteliti, kenapa pula makin berkurang daripada 15,000 kepada 512 restoran? Sepatutnya semakin bertambahlah.

Ada juga peniaga yang bertanya adakah Menu Rahmah ini hanya untuk makanan halal di restoran milik orang Islam sahajakah? Secara logiknya memanglah pelik jika sebuah restoran menjual nasi berlauk khinzir menamakan menu mereka dengan Menu Rahmah juga. 

Sekiranya benar restoran milik bukan Islam ini tidak terlibat dengan konsep Menu Rahmah ini maka mereka agak bebas dan tidak tersepit berbanding peniaga-peniaga Melayu. Jika itu yang berlaku maka yang teruk menanggungnya peniaga Melayu juga.

Akhir-akhir ini orang sedang bercakap tentang manipulasi terhadap Menu Rahmah ini, antaranya ia digunakan oleh pasar raya-pasar raya besar sebagai satu promosi untuk menarik pelanggan datang dengan membiarkan rugi pada jualan Menu Rahmah tetapi mendapat untung pada produk lain yang dijual.

Ini berbeza dengan kedai makan atau restoren yang memang menjual makanan sebagai produk jualan sebenar mereka, bukan sekadar tarikan.

Ada yang menetapkan set Menu Rahmah di kedai-kedai mereka pada bilangan-bilangan tertentu atas prinsip ‘selagi stok masih ada’. Persoalannya siapa yang mengaudit samada mereka benar-benar membekalkan menu itu pada kuantiti yang mereka sendiri tetapkan?

Akhir nanti ia akan menjadi strategi sesetengah peniaga yang mempamerkan sesuatu produk pada harga sangat murah untuk menarik orang berhenti, tetapi bila ditanya mereka kata yang murah itu sudah habis. Lalu pembeli yang sudah kebetulan berhenti terpaksa juga membeli produk lain yang lebih mahal.

Rakyat marhaen tidak sepatutnya terpaksa berjuang untuk memastikan mereka dapat menikmati Menu Rahmah yang belum tentu berjaya dibeli. 

Sepatutnya kerajaan fokus kepada menurunkan kos bahan mentah agar nikmatnya benar-benar dapat dirasai oleh semua golongan B40. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -