Lewat buka sempadan jejas ranking WCR Malaysia

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kelewatan pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah faktor utama penurunan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata trend penurunan ranking WCR dapat dilihat membabitkan negara yang lewat membuka semula sempadan antarabangsa kerana pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, keadaan itu menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam WCR IMD 2022, turun tujuh tangga berbanding tangga ke-25 pada 2021.

“Berbanding Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 dengan mengambil kira mengimbangi nyawa dan kelangsungan hidup rakyat.

“Kelewatan itu berbanding negara lain menyebabkan kedudukan Malaysia dalam ranking WCR jatuh,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung faktor menyebabkan penurunan ranking Malaysia dalam WCR IMD.

Ahli Parlimen Kubang Pasu

Tengku Zafrul berkata, faktor lain pula ialah persepsi komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa terhadap peraturan dan undang-undang yang dilihat sebagai kekangan dan kurang mesra perniagaan.

Sehubungan itu, katanya MITI sedang memperhalus cadangan untuk memudahkan perniagaan bagi membantu syarikat tempatan dan luar negara yang ingin melabur di Malaysia. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -