Kos sara hidup: Ramai graduan terkesan gaji minimum

Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah kerajaan sedar bahawa kadar gaji minimum dan gaji permulaan bagi golongan siswazah tidak mendakap realiti kos sara hidup yang tinggi.

- Advertisement -

Ini, kata beliau selanjutnya menyebabkan ramai graduan terutamanya di kawasan bandar terkesan dan bagaimanakah kementerian memastikan bahawa gaji permulaan para graduan menepati keadaan pasaran.

Beliau yang juga Presiden Gerakan mengemukakan soalan itu pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Soalan daripada wakil PAS, Bersatu dan Gerakan pada persidangan Dewan Negara sebagaimana di bawah.

Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah yang diambil bagi meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) agar setanding dengan sekolah-sekolah di luar negara seperti Singapura memandangkan kurikulum kedua-dua negara dilaporkan setara supaya negara dapat menghasilkan murid yang mempunyai kebolehan yang setanding.

Datuk Bobbey Bin Suan minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi memastikan pengusaha-pengusaha bot laut menggunakan tenaga kerja tempatan.

Tuan Ir. Md. Nasir bin Hashim minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah status berkenaan dengan pembatalan pembangunan stadium baharu di Kelantan dan juga penutupan Kompleks Kolam Renang di Muar, Johor.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kementerian pada ketika ini merancang untuk menambah perjawatan pegawai dan kakitangan dalam Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pengangkutan menyatakan:-

(a) Adakah terdapat sebarang usaha oleh pihak Kementerian dalam menguatkuasakan e-Scooter dan e-Bicycle dari segi perundangan; dan

(b) Bagaimanakah pihak Kementerian akan memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terjamin dalam persekitaran yang mempunyai e-Scooter dan e-Bicycle.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kerajaan sedar bahawa kadar gaji minimum dan gaji permulaan bagi golongan siswazah tidak mendakap realiti kos sara hidup yang tinggi yang selanjutnya menyebabkan ramai graduan terutamanya di kawasan bandar terkesan dan bagaimanakah Kementerian memastikan bahawa gaji permulaan para graduan menepati keadaan pasaran.

Datuk Bobbey Bin Suan minta Menteri Pendidikan menyatakan berapa peratuskah murid yang tidak boleh menguasai 3M dan apakah langkah-langkah Kementerian untuk memastikan murid-murid ini tidak tercicir dalam mata pelajaran lain.

Tuan Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan persekutuan akan membayar wang royalti minyak melalui Perbendaharaan Negeri Kelantan.

Datuk John Ambrose minta Menteri Kesihatan menyatakan jenis-jenis bantuan berbentuk sokongan moral dan mental yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada pesakit COVID-19 dan mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19.

Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perkembangan terkini sistem capaian internet di sekolah luar bandar terutama untuk kelancaran pendidikan secara ‘online’ dalam keadaan norma baharu ini dan berapakah jumlah statistik sekolah kawasan luar bandar yang belum mendapat capaian internet.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan keselamatan di sempadan Negara terutama di Kelantan dengan memasang pagar di sepanjang sempadan agar kes penyeludupan dapat dikekang.

Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah kemajuan terkini tindakan penambahbaikan yang dilakukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan kad Touch ‘n Go sepertimana yang diarahkan Kementerian dan apakah halangan untuk Kementerian membuka perkhidmatan ini agar pengguna boleh memilih untuk menggunakan platform bayaran yang lain seperti kad kredit semasa membayar tol.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah pendirian tentang hak aset negara Malaysia di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan terutama sekali aset minyak negara di perairan Sarawak dari sudut ekonomi, aktiviti eksplorasi serta perniagaan PETRONAS turut diancam oleh pencerobohan asing.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah perancangan Kerajaan untuk mewujudkan garis panduan perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang selaras bagi seluruh negeri yang memiliki mineral ini.

Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah berlakunya pemanjangan waktu operasi kesihatan pada pengumuman bajet baru ini, dan adakah akan diselaraskan juga kadar elaun tuntutan pemanjangan waktu ‘claim extended’ ini kepada mereka yang bertugas.

Tuan Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Perdana Menteri menyatakan apakah urutan keutamaan kepada Malaysia Madani dan berapakah tempoh sasaran kepada urutan tersebut.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh mana komitmen pemegang taruh daripada pihak industri dalam usaha Kerajaan untuk merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang TVET daripada 35% ke 55%. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -