30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (6)

- Advertisement -

HIKMAH 6:

- Advertisement -

لاتطلب منه أن يخرجك من حالة ليستعملك فيما سواها، فلو أرادك لاستعملك من دون إخراج

“Jangan memohon dariNya untuk mengeluarkan kamu dari satu posisi dengan tanggapan lebih untuk baik untuk agamamu. Jika Allah menghendaki kebaikan, nescaya Dia akan memanfaatkanmu tanpa perlu mengeluarkanmu.”

Maksud:

1. Jika kita berada pada posisi yang tidak bercanggah dengan syarak, tetapi merasakan jika posisi kita berubah, ia lebih memberi manfaat kepada agama kita, maka jangan mendoakan kita diubah posisi sebaliknya hanya berserah pada Allah sahaja. Kerana jika ia menghendaki kebaikan, Dia akan jadikan kita bermanfaat walau di mana posisi kita berada.

2. Contohnya kita belajar dalam bidang perubatan, tak perlu tukar ke bidang kejuruteraan hanya kerana merasakan kejuruteraan lebih memberi manfaat untuk agama dari sudut boleh bina masjid dan sebagainya. Kerana jika Allah menghendaki, Dia boleh sahaja jadikan kita bermanfaat di bidang perubatan lebih dari manfaat yang kita fikir di bidang kejuruteraan.

3. Peringatan supaya kita sentiasa redha dengan ketentuan tuhan. Jangan terpengaruh dengan gelora nafsu sehingga melapik dengan alasan agama. Walaupun ianya tidaklah berdosa, tetapi ia menunjukkan kita tidak begitu redha dengan kententuanNya.

Ibrah Ramadan:

Ramadan turut mengajar erti redha. Bersyukur dengan segala ketentuan tuhan. Melalui puasa, kita dapat merasai kesusahan orang berlapar, lalu membangkitkan rasa syukur akan nikmat makan minum yang kita rasai selama ini.

Jangan pula berlapar dahaga cuma sekadar di siang hari sahaja. Tiba berbuka, kita bantai makan umpama membalas dendam. Sia-sia tarbiyah puasa yang dilalui sepanjang siang, berkubur begitu sahaja sebaik azan Maghrib berkumandang.

Sangat menghairankan. Bagaimana waktu makan menjadi semakin pendek di bulan Ramadhan, tetapi kadar pengeluaran makanan dan sisa makanan meningkat mendadak berbanding bulan lain angkara lambakan bazar, bufet berbuka dan program masakan.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 29/3/2023

- Advertisement -