20 jemaah umrah terkorban, nahas bas di Saudi

Seramai 20 jemaah umarah disahkan terkorban selepas sebuah bas melanggar jambatan di wilayah Asir, Arab Saudi pada 27 Mac 2023. (FOTO: Twitter)
- Advertisement -

RIYADH: Sebuah bas yang membawa jemaah haji ke kota suci Makkah terbakar selepas berlaku pelanggaran di sebuah jambatan mengorbankan kira-kira 20 nyawa dan mencederakan lebih dua dozen yang lain.

Insiden itu berlaku di Aqabat Shaar, di wilayah selatan Asir pada jam 4 petang Isnin (27 Mac), waktu tempatan itu menonjolkan cabaran berterusan untuk membawa jemaah dengan selamat ke Makkah dan Madinah, dua bandar paling suci dalam Islam, lapor AFP memetik laporan saluran televisyen kerajaan Arab Saudi, Al-Ekhbariya.

- Advertisement -

Aqabat Shaar ialah jalan raya sepanjang 14 kilometer yang dibuka lebih 40 tahun lalu. Pembinaannya termasuklah melibatkan pemotongan gunung dan membina 11 terowong dan 32 jambatan, menurut Saudi Press Agency.

Tragedi itu berlaku pada minggu pertama Ramadan, ketika umat Islam menjalani umrah, dan hanya beberapa bulan sebelum jutaan umat Islam dijangka menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Menurut maklumat awal yang diterima, jumlah kematian dalam kemalangan ini mencecah 20 individu, dan jumlah keseluruhan kecederaan adalah kira-kira 29 orang,” lapor Al-Ekhbariya.

Laporan itu berkata mangsa mempunyai ‘kewarganegaraan berbeza’ tetapi tidak menyebut secara terperinci atau memberikan pecahan.

Saluran itu berkata bas itu mengalami ‘masalah kenderaan’  tanpa menyatakan secara spesifik, manakala akhbar swasta, Okaz berkata kemalangan itu berpunca daripada masalah dengan brek bas malang berkenaan sebelum ia ‘kemudian berlanggar dengan jambatan, terbalik dan terbakar’.

Bangkai bas yang membawa jemaah umrah yang musnah terbakar selepas melanggar jambatan di wilayah Asir, Arab Saudi pada 27 Mac 2023. (FOTO: AFP)

Rakaman yang disiarkan di Al-Ekhbariya menunjukkan seorang wartawan berdiri di hadapan apa yang kelihatan seperti sebuah bas yang hangus terbakar.

Perkhidmatan  membawa jemaah di sekitar tapak suci Saudi adalah tugas yang berbahaya, terutamanya semasa musim haji, apabila jalan-jalan raya boleh menjadi huru-hara dengan  bilangan bas yang banyak menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan.

Pada Okt 2019, kira-kira 35 warga asing terbunuh dan empat lagi cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah. – HARAKAHDAILY 28/3/2023

- Advertisement -