Timbalan Yang di-Pertua `garang’ beri amaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Chong Zhemin (PH-Kampar) diberi amaran akan dikeluarkan dari sidang Dewan Rakyat jika masih mahu membangkit perkara yang sama.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor, memberi amaran itu selepas Zhemin cuba membangkitkan isu serupa yang dibangkitkan sebelum itu oleh RSN Rayer (PH-Jelutong).

- Advertisement -

Ramli berkata: “Sekiranya YB (Kampar) bangkit lagi, saya memberi amaran kedua dan bangun kali ketiga, saya akan keluarkan selama tiga hari.”

Sebelum itu, RSN Rayer menyifatkan tindakan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng (PH-Bagan) sebagai tidak wajar.

Jumaat lalu, Armada Bersatu membuat laporan polis terhadap Lim Guan Eng kerana didakwa memfitnah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkenaan isu pelepasan cukai Yayasan Albukhary dan anak syarikatnya.

Malah, katanya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, baru-baru ini, berkaitan isu sama dianggap sebagai mengelirukan.

Menurutnya, penjelasan Perdana Menteri bahawa Menteri Kewangan tidak ada kuasa untuk membatalkan pelepasan cukai dianggap mengelirukan.

Katanya, ini berikutan Yayasan Albukhary dan syarikat-syarikatnya mendapat pengecualian cukai semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) antara 2016 hingga 2018.

Berikutan itu, Ramli menegaskan bahawa jika YB Kampar mahu membangkit sama, beliau tidak membenarkan. Bagaimanapun Chong Zhemin cuba menjelaskan isu sama.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kemudian meminta Rayer dan Datuk Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengemukakan usul secara bertulis sekiranya masih tidak berpuas hati.

Pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini, berlaku pertembungan sesama penyokong kerajaan apabila Zhemin cuba membantah Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang menegur Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kerana mengimport telur ayam dari India bagi mengatasi isu kekurangan telur dalam negara. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -