Tanpa faedah, cagaran: Pinjaman menurut Islam

Mohd Ramalan Yunus
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pinjaman menurut Islam sepatutnya tidak ada sebarang kadar faedah dan tidak memerlukan sebarang cagaran.

Demikian respons Dato’ Dr. Mohd Ramalan Yunus mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran dengan menggunakan kaedah pinjaman Islam.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan pakar Penganalisis Politik dan Ekonomi bebas berkata kenyataan Anwar dengan alasan bahawa kadar faedah lebih rendah benar-benar mengelirukan kerana pinjaman dalam Islam sepatutnya untuk membantu golongan yang memerlukan dan bukannya dijadikan sebagai perniagaan.

“Mana-mana sistem bank yang berkonsepkan Islam bukan sekadar masih jauh daripada menepati syariat Islam kerana bank tersebut juga amalkan riba, malah lebih buruk dan zalim daripada bank konvensional,” tegas beliau kepada HarakahDaily.

Beliau memberikan cadangan bahawa seharusnya kerajaan yang perlu memberikan pinjaman kepada rakyat iaitu tanpa faedah dan tanpa cagaran jika benar-benar ingin membantu rakyat dan bukannya sebaliknya.

Sehubungan itu, menyokong kenyataan Prof Nazari Ismail dalam wawancara HarakahDaily  sebelum ini bahawa setiap perbankan berkonsep Islam tetap menjadikan peminjamnya terikat dengan hutang.

Mohd Ramalan juga bersetuju dengan pandangan ulama antarabangsa bebas yang pakar dalam bidang kewangan ekonomi antarabangsa, Sheikh Imran Nazar Hossein bahawa sistem perbankan berkonsepkan Islam merupakan ‘riba dari pintu belakang’.

“Jika sesiapa yang cuba untuk menafikan segala fakta saya ini, silakan kerana itu pilihan masing-masing tetapi jangan menyesal di dunia dan akhirat nanti kerana saya telah berkongsikan perkara yang benar-benar terjadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -