PN kemuka usul lawatan PM ke Arab Saudi

Ahli Parlimen Machang, menunjukkan usul yang dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini, mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, bagi meminta penjelasan kerajaan berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.

Usul itu antara lain untuk mendapatkan penjelasan kerajaan berkenaan status kuota tambahan jemaah haji sebanyak 10,000 orang dan penambahan barang dagangan minyak sawit berjumlah 500,000 ton bernilai RM1 bilion yang sudah diperoleh sebelum ini.

- Advertisement -

“Usul ini perlu disegerakan memandangkan lawatan (Perdana Menteri) yang diperlihatkan dingin dan kurang berimpak akan memberi risiko kepada perdagangan dua hala serta hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi seperti yang sudah disepakati pada Mac 2021.

“Ini kerana bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berjaya mendapat persetujuan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji sebanyak 10,000 jemaah dan peningkatan eksport minyak kelapa sawit ke Arab Saudi berjumlah 500,000 ton yang nilainya mencecah RM1 bilion,” katanya dalam usul yang dikemukakan, hari ini.

Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berkata, pihaknya juga sudah menghantar soalan berhubung hal berkenaan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat esok.

“Kita tidak mahu kegagalan lawatan ini memberi kesan kepada kepentingan rakyat yang sudah dicapai dulu,” katanya dalam media sosial Facebook beliau, hari ini.

Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi berakhir Jumaat lalu. Kunjungan itu adalah lawatan rasmi sulung Anwar ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -