Lim Hui Ying ditegur gagal berikan jawapan

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menegur Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying yang gagal menyediakan jawapan terhadap soalan dikemukakan bagi pertanyaan jawab lisan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan nombor 16 Ahmad Marzuk adalah mengenai peruntukan dan mekanisme pemantauan makanan Program Rancangan Khas (RMT).

- Advertisement -

Datuk Ramli Mohd Nor berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada kerajaan.

“Yang Berhormat (Timbalan) Menteri, perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Saya berharap pihak kerajaan, ketua majlis ambil maklum tentang perkara ini. Ia memberikan satu senario yang tidak baik kepada kerajaan,” katanya.

Hui Ying kemudian meminta maaf dan berjanji perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebelum itu bangkit mempersoalkan kenyataan Hui Ying yang berkata beliau tidak menyediakan jawapan kepada soalan yang dikemukakan dan meminta untuk memberikan jawapan bertulis.

“Yang berhormat (Timbalan) Speaker, ini tidak sepatutnya berlaku dalam dewan. Soalan ini sudah lama dikemukakan. (Timbalan) Menteri mesti sediakan jawapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -