Kisah imam dipukul pada zaman Sultan Al Mutawakkil

- Advertisement -

PADA zaman Sultan Al Mutawakkil sebagai khalifah, datang kepadanya seorang lelaki yang telah memukul seorang imam ketika solat. Berkata khalifah, kalau dikau tidak menceritakan kepadaku sebab engkau memukul imam tersebut, nescaya akan aku pukul dikau di khalayak ramai.

Lalu dia bercerita. Duhai Amirul Mukminin, aku baru tiba dari permusafiran yang jauh, kemudian terdengar seruan solat Subuh lalu aku pun singgah di masjid berdekatan. Usai berwudhuk aku pun bersegera mengikut imam untuk solat. Selepas Fatihah, imam pun menyambung bacaan surah Al-Baqarah hingga akhir surah. 

Aku pun berbisik dalam hati, barangkali imam akan membaca surah yang pendek pada rakaat kedua. Malangnya usai Fatihah imam membaca surah Ali Imran hingga habis! Tatkala memberi salam, aku lihat di luar matahari telah pun meninggi!

Selepas beri salam, Imam pun berdiri dan menyebutkan “Wahai sekalian jemaah, kalian hendaklah mengulangi solat Subuh tadi kerana aku lupa untuk mengambil wudhu!”

Apabila aku dengar pengumuman imam tadi, teruslah aku pergi dan memukul imam!.

Berkata khalifah selepas mendengar kisah ini, “Demi Allah, kalaulah aku pun ada sekali tentu aku pun akan pukul sekali imam tadi!”

Sumber: Pengkisahan oleh Dr. Abdul Kafi Syahatah.

Pengajaran:

1. Memberatkan solat dengan memanjangkan bacaan perbuatan yang dilarang oleh Nabi S.A.W dengan peringatan dalam Hadis Riwayat Bukhari Muslim.

2. Imam hendaklah memahami kondisi makmum yang mengerjakan solat.

3. Kisah yang tragis pada zaman Saidina Umar bukan setakat dipukul, bahkan ditikam hingga membawa kepada kewafatan Saidina Umar

4. Ujian dalam berdakwah termasuk menjadi imam juga sebagai asam garam dalam dakwah.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 27/3/2023

Postscript: Semoga Imam yang dipukul di satu Masjid semalam baik-baik sahaja. Tidak pasti sebab dan punca ia berlaku.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/pfbid07qLZgXGr8S6bst6nBZwAqRi5au8nWMJqrkdKo9cUpip4UCAGWtFBSq5L4DZG2osSl/?sfnsn=mo&mibextid=6aamW6 

- Advertisement -
- Advertisement -